AEON MALL Shah Alam mohon maaf, perjelas keadaan sebenar


  • Primer
  • Selasa, 21 Dis 2021

SEBAHAGIAN kakitangan AEON MALL Shah Alam membantu pelanggan yang terjejas ekoran banjir kilat luar biasa pada Sabtu. — Facebook AEON MALL Shah Alam

SERAMAI 570 orang pelanggan AEON MALL Shah Alam yang terkandas akibat banjir kilat di Shah Alam, Selangor pada 18 Disember lalu telah disantuni dan dibantu oleh pihak pengurusan pusat beli-belah itu.

Dalam keadaan tidak bersedia serta kekangan tenaga kerja, pihak pengurusan AEON MALL Shah Alam berkata, mereka berusaha dengan sebaik mungkin untuk memastikan keselesaan pelanggan terjamin.

AEON MALL Shah Alam bagaimanapun tetap memohon maaf secara terbuka dan seikhlas hati kepada para pelanggan terlibat jika terdapat kekurangan daripada pihak mereka dalam menangani situasi tersebut.

Menjelaskan perkara itu, pihak pengurusannya berkata, pada harian kejadian, boleh dikatakan tiada sesiapa yang sedar akan situasi sebenar banjir kilat yang melanda kawasan Shah Alam dan sekelilingnya.

"Berdasarkan kepada jadual kerja harian, operasi kami berakhir pada jam 10 malam setiap hari. Justeru, itulah maklumat yang diberikan oleh kakitangan kami kepada mereka yang bertanya pada awalnya.

"Selepas itu, apabila menerima lebih banyak pertanyaan, keputusan dibuat dalam jam 9.40 malam untuk membenarkan para pelanggan, kakitangan serta penyewa untuk berlindung di dalam premis sementara menunggu keadaan bertambah pulih.

"Selain pelanggan, terdapat juga 173 kakitangan dan 255 penyewa yang turut terkandas," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

269251795_7052300771454206_9046538225594009395_n

SEBAHAGIAN pelanggan berteduh di dalam premis AEON MALL Shah Alam ketika kejadian banjir pada Sabtu. — Facebook AEON MALL Shah Alam

Mengulas lanjut, pihak pengurusan AEON MALL Shah Alam berkata, pihaknya menyedari keadaan di luar adalah bukan seperti banjir kilat biasa.

Menurutnya, situasi tersebut sangat kritikal apabila banyak jalan-jalan utama telah ditutup, air sungai telah melimpah selain paras air di jalan raya yang ditenggelami adalah tinggi hingga beberapa meter menjadikannya begitu berbahaya.

Sehubungan keputusan itu, kakitangan AEON MALL Shah Alam serta-merta memaklumkan kepada para pelanggan yang mereka boleh bermalam di dalam premis beli-belah.

Katanya, maklumat itu dihebahkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis dan juga di kawasan parkir kenderaan baik di dalam dan di luar premis pusat beli-belah.

"Dengan keadaan yang tidak bersedia, di luar jangkaan serta kekangan tenaga kerja, mungkin ada di antara para pelanggan yang tidak mendapat maklumat tersebut dan telah beredar terlebih dahulu," katanya.

Pihak pengurusan AEON MALL Shah Alam berkata, sebuah ruang berhawa dingin dengan keluasan 6,400 kaki persegi di tingkat 3 yang boleh menampung kapasiti 200 orang disediakan.

Selain itu, katanya, para pelanggan yang terkandas turut berada di ruang legar untuk berlindung selain terdapat juga yang memilih untuk bermalam di dalam kenderaan masing-masing.

"Bantuan segera turut diberikan seperti air mineral, susu tepung, lampin pakai buang, roti, air panas, air mineral, tuala, bantal, kain pelikat dan sebagainya dengan keutamaan diberikan kepada mereka dengan bayi dan anak kecil memandangkan kuantiti yang agak terhad.

"Pakaian turut diberikan kepada mereka yang basah kuyup. Kakitangan kami menolak troli dengan barangan bantuan dari tingkat ke tingkat," ujarnya.

268783774_7052302371454046_4363552485205461358_n

BANTUAN seperti susu tepung dan lampin pakai buang turut diberikan kepada pelanggan yang terkandas. — Facebook AEON MALL Shah Alam

Dalam keadaan yang kurang terurus, pihak pengurusan AEON MALL Shah Alam berkata, pihaknya telah cuba sedaya upaya, namun mungkin ada yang terlepas pandang dan tidak menerima bantuan barangan, terutama mereka yang berada di tempat-tempat terlindung dan di kawasan berjauhan dari kumpulan-kumpulan utama.

"Para pelanggan yang bermalam turut menggunakan fasiliti seperti surau, tandas dan bilik bayi. Ada yang berbaring di atas lantai seadanya serta sofa dan katil-katil pameran.

"Para pelanggan yang terkandas mula beransur meninggalkan premis pada Ahad," katanya sambil memaklumkan, pihaknya juga turut memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam menguruskan situasi tersebut.

Untuk itu, pihak pengurusan AEON MALL Shah Alam berkata, pengalaman itu akan dijadikan sebagai iktibar untuk mempertingkatkan keupayaan kakitangannya dalam mendepani situasi sedemikian.

"Kami mengambil maklum akan kelemahan kami dan kami ambil iktibar serta belajar daripadanya.

"Kami sedar adalah tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak apatah lagi dengan bilangan yang besar dalam keadaan kami yang tidak bersedia namun begitu, kami akan cuba pertingkatkan keupayaan kakitangan kami.

"Kakitangan kami yang tiada kemahiran atau pengalaman untuk mengendalikan operasi sebegitu tetap berusaha dengan sepenuh hati dalam menghulurkan bantuan.

"Walaupun penat dan risau memikirkan keluarga masing-masing serta dimarahi dan diherdik oleh sesetengah individu yang kurang sabar, kakitangan kami tetap fokus dalam menyantuni para pelanggan," katanya.

269476107_7052286244788992_1296661899857009096_n

KAKITANGAN AEON MALL Shah Alam membantu menolak troli dengan barangan bantuan dari tingkat ke tingkat. — Facebook AEON MALL Shah Alam

Pada masa sama, pihak pengurusan AEON MALL Shah Alam turut menzahirkan penghargaan dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua.

Katanya, sokongan diterima daripada pelanggan merupakan dorongan kepada mereka untuk terus memberikan yang terbaik walau di dalam keadaan getir.

"Namun kepada yang tidak berpuas hati dan menyatakan secara terbuka di media sosial dengan penggunaan istilah yang agak kurang manis disebabkan oleh ketidakpuasan hati, kemaafan jua yang kami mohon dengan penuh rendah hati.

"Tiada maksud walau sekelumit untuk membuatkan sesiapa merasa terluka dan kurang dihargai," katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan AEON MALL Shah Alam turut mendoakan semoga mangsa yang terkesan akibat banjir kilat akan dipermudahkan segala urusan oleh Yang Maha Esa serta cekal menghadapi dugaan itu.

"Kami juga sangat bersyukur dan berterima kasih di atas segala usaha, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh para pelanggan, rakan penyewa serta kakitangan kami – AEON Warriors," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram