SELALU apabila kita memandu di belakang lori yang membawa muatan tong gas, kita mesti terfikir apa akan jadi jika satu daripada tong gas itu jatuh ke jalan raya.
Apabila ditanya kepada pihak yang berkenaan, jawapannya tidak akan berlaku kerana susunan dan cara tong gas itu dibawa ke dalam lori sudah dipastikan selamat.
Baru-baru ini tular satu rakaman video yang memaparkan sebuah tong gas tercicir daripada lori sebelum jatuh bergolek ke Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan susur keluar ke George Town, Pulau Pinang.
Tambah mendebarkan, tong gas yang tercicir itu nyaris dilanggar sebuah van yang berada di belakang dan mujur tong gas itu melantun ke tepi jalan raya dan tidak melibatkan pengguna lebuh raya yang lain.
Menerusi ruangan komen, ada yang menganggap insiden itu sebagai rezeki yang datang bergolek apatah lagi tong gas itu mempunyai nilai yang agak tinggi.
Namun, ada juga yang menyatakan kerisauan kerana insiden itu juga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya dan tambah parah bila melibatkan nyawa.
Selain itu, ada juga yang menganggap lori berkenaan melakukan kesalahan kerana memandu kenderaan perdagangan dengan laju dan berbahaya. — Majoriti