ISU pampasan yang rendah menjadi antara kerisauan penduduk di Kampung Sungai Baru susulan Pelan Pembangunan Semula Kampung Baru di ibu negara.
Majoriti sebelum ini mengupas tentang isu terbabit dan penduduk khuatir sekiranya harga pampasan yang diberikan tidak setimpal dengan nilai harga rumah semasa.
Menurut salah seorang penduduk, Saiful Azhar Ibrahim, dia tidak menolak kemungkinan rumah teres di kampung itu akan dinilai rendah seperti mana yang diputuskan ke atas penduduk rumah flat sebelum ini, yang dipercayai hanya mendapat pampasan sebanyak antara RM200,000 hingga RM250,000.
Dia juga memberi contoh sekiranya pampasan yang diberi ke atas rumah teres di kawasan itu adalah antara RM300,000 hingga RM400,000, maka jumlah itu tidak masuk akal.
Isu berkenaan turut mendapat reaksi warganet yang bersimpati dengan nasib melanda penduduk Kampung Sungai Baru.
Menurut seorang pengguna Twitter, @xoxnaby, dia terkilan apabila penduduk di kawasan tersebut menerima impak akibat kerakusan sesetengah pihak yang hanya menumpukan kepada pembangunan semata-mata tanpa mengira nasib mereka yang terjejas.
"Nak selamatkan Melayu tapi sibuk nak ambil tanah dan pampasan RM200,000. Mana nak dapat rumah harga macam itu sekarang? Biar sajalah Kampung Baru itu, naik taraf rumah di situ bagi cantik, kenapa sibuk nak ambil tanah itu? Bangunan 100 tingkat lagi ke? Atau nak buat pusat membeli belah?" katanya menerusi ciapan di Twitter.
ANTARA komen warganet di Twitter. — Twitter
Berdasarkan komen warganet yang dibaca, penulis merasakan kerajaan perlu lebih tegas dalam memulihara khazanah negara agar tidak tenggelam.
Penulis mahu berkongsi sedikit pengalaman ketika berkunjung ke Korea Selatan beberapa tahun lalu. Banyak khazanah seperti tinggalan istana lama masih dipelihara dan dijadikan tarikan pelancong.
Janganlah terlalu mengejar pembangunan tanpa memikirkan kesan buruk yang berlaku kepada rakyat dan generasi akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram