'Kopitiam itu kedai kopi, bukannya bar'


PERLIS akan menguatkuasakan peraturan menjual bir di kedai kopi dan restoran di negeri itu mulai bulan depan. — AZHAR MAHFOF/The Star

KERAJAAN Perlis akan menguatkuasakan peraturan menjual bir di kedai kopi dan restoran di negeri itu mulai bulan depan serta syarat tambahan untuk semua kopitiam mempunyai lesen alkohol bagi penjualan bir.

Keputusan itu dikritik oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan pada Ahad yang menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil dan menghakis hak orang bukan Islam di Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu mendapat perhatian pengguna Facebook, Ulasan Apek Cina yang berkata, beliau seharusnya tidak mempolitikkan isu berkenaan dan memahami fungsi kopitiam terlebih dahulu.

"Namanya kopitiam, maksudnya kedai kopi. Tempat minum arak biasa kita panggil pub atau bar.

"Di kopitiam, baik kita minum kopi atau teh dan sembang politik. Tak perlulah minum arak di kopitiam. Nak minum, pergi pub atau bar.

"Tak perlulah cakap tentang 'hak' ni. Sewaktu saya belajar di UK atau bekerja di China, tak nampak pun kedai kopi ada jual arak," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Isnin.

Kenyataannya disambut baik oleh netizen di ruangan komen yang bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan itu.

netz arak kopitiam

Antara komen netizen yang bersetuju dengan perkara itu. — Facebook

"Tak kira agama atau bangsa mana sekali pon, tidak akan bersetuju dengan arak dan judi sebab keburukan yang terdapat padanya. Jika ada yang memperjuangkan arak dan judi, maka orang tersebut mempunyai kecacatan mental tahap gaban dan serius," kata Azlan Shah.

"Apa la LGE ni cakap, nak mabuk pergi pub lah. Di sana nak minum sampai pecah perut pun boleh. Pengusaha kopitiam pun lagi senang kerana tak perlu beli dan sediakan arak yang bukan murah harganya. Bila pelanggan mabuk macam-macam pula boleh berlaku yang akan menyusahkan pengusaha kopitiam," jelas Aziz Ghani.

"Sejak bila arak ini menjadi hak orang bukan Islam? Dalam perlembagaan Malaysia ada ke? Nak main politik pun agak-agaklah. Kopitiam itu tempat sembang santai. Bukan tempat mabuk huru hara," kata Adam Lee.

"Pendapat apek terbaik, selalunya sesuai mengikut keperluan rakyat Malaysia seluruhnya. Nak mabuk boleh pergi tempat mabuk. Kedai makan biasa yang tak ada mabuk-mabuk lebih ramai pelanggan sebenarnya sebab sesuai untuk semua peringkat umur dan family customer," ujar Jeep Ida. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram