'Ampun Sultan Kedah, mohon perkenan SOP rapatkan saf solat berjemaah'


BUAT masa ini, SOP solat berjemaah masih tidak membenarkan jemaah untuk merapatkan saf demi mengelakkan jangkitan Covid-19. — Gambar hiasan

SEORANG pengguna Facebook menggunakan nama Cempaka Mentari memohon Sultan Kedah memperkenankan prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan jemaah kembali rapatkan saf solat berjemaah di masjid dan surau di negeri Kedah.

Permohonan itu disuarakan Cempaka Menteri menerusi satu surat terbuka kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang dimuat naik sebagai status di laman Facebook Kami Anak Kedah pada Isnin.

"Surat terbuka kepada Sultan Kedah. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

"Mohon tuanku yang bijaksana perkenan untuk jemaah kembali rapatkan saf solat berjemaah di masjid dan surau dalam negeri Kedah.

"Ini selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. Sekian sembah patik. Ampun Tuanku," tulisnya.

kedah sop ss

TANGKAP layar surat terbuka tulisan Cempaka Mentari kepada Sultan Kedah di Facebook Kami Anak Kedah. — Facebook

Setakat 8 malam Isnin, status itu mendapat 167 tanda suka dan dua perkongsian.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut mempersoalkan SOP solat berjemaah yang masih tidak dibenarkan untuk merapatkan saf.

“Saya nak bertanya pakar-pakar jangkitan Covid di Kementerian Kesihatan (KKM), virus Covid-19 ni mai (datang) masjid je ke?.

“Kenapa virus minat sangat dengan masjid dan tidak berminat dengan tempat lain?” soalnya menerusi laman Facebook baru-baru ini.

Katanya, pihak kementerian seharusnya membuat penilaian semula berkenaan SOP di masjid dengan memberi layanan sama dengan sektor sosial lain.

“Cadangan saya, seperti tempat lain, elok KKM menilai masjid dengan layanan yang sama!.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram