'Penyokong di stadium boleh duduk rapat-rapat, kenapa saf di masjid masih jarak?'


FIRDAUS terpanggil untuk menyuarakan pendapatnya berhubung perkara ini. — Facebook

SOKONGAN peminat terhadap arena sukan bola sepak sememangnya tidak pernah pudar meskipun setelah dua tahun penyokong tidak dapat memenuhi stadium susulan pandemik Covid-19.

Bukan apa, kemeriahan penyokong yang membanjiri stadium pada perlawanan akhir Piala Malaysia (Selasa) jelas membuktikan perkara itu.

Bagaimanapun, seorang pemilik akaun laman sosial Facebook, Firdaus Wong Wai Hung - Official, menyuarakan pandangan berbeza berhubung situasi itu.

Melihat kepada kemeriahan di stadium, dengan penyokong yang 'duduk rapat' seolah tiada penjarakan sosial, Firdaus berharap agar kehadiran di masjid atrau surau dapat diberi kelonggaran yang sama iaitu saf kembali dirapatkan.

"Saya berharap agar surau dan masjid dapat diimarahkan, saf dirapatkan sebagaimana penyokong bolasepak boleh duduk rapat-rapat, penumpang bas dan penumpang kapa lterbang boleh duduk sebelah menyebelah.

"Rindu suasana begitu. Para alim ulamak lebih tahu fiqh keutamaan. Saya yang marhaen hanya kongsikan suara hati diri ini," tulisnya dalam status yang dikongsi pada Rabu.

Majoriti turut menghubungi Firdaus untuk mendapatkan huraian lanjut berhubung padangan berkenaan.

Katanya, dia menzahirkan pendapat kerana realiti amalan kepatuhan SOP ketika menggunakan perkhidmatan awam dan aktiviti melibatkan sukan seakan 'lebih' longgar berbanding melakukan ibadah di rumah ALLAH.

Dia memberikan contoh amalan ketika menaiki kapal terbang, pelajar yang menaiki bas, aktiviti sukan dan pelanggan yang makan di restoran.

Realitinya, dalam keadaan ini orang ramai boleh duduk bersebelahan dan dalam keadaan rapat serta bersentuhan.

"Bagaimana mereka boleh duduk sebelah menyebelah, bersentuhan fizikal dan peluk memeluk serta makan bersebelah-sebelah?

"Jikalau semua contoh tadi telah berlaku dan dibenarkan atas alasan mereka yang menaiki pengangkutan awam serta melakukan aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan fizikal itu telah divaksin, kenapa dengan masjid hanya mengizinkan orang yang telah divaksin tidak boleh kembali merapatkan saf?," ujarnya kepada Majoriti.

Katanya lagi, dia tidak berniat mencabar atau merendah mana-mana pihak, namun ramai pihak yang melontarkan persoalan berhubung perkara ini dan diharap pihak berkaitan dapat memberikan penjelasan. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram