'Hilang minat belajar sebab PdPR terlalu panjang'


RAMAI dalam kalangan pelajar Nurzuhaili tidak dapat menjawab soalan esei Bahasa Inggeris. — Gambar hiasan/Agensi

SETELAH hampir dua tahun pelajar sekolah menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kini mereka menjalani Pentaksiran Setara Standard bermula dari 21 November sehingga 3 Disember 2021.

Pentaksiran Setara Standard adalah pentaksiran sumatif yang dijalankan mengikut jadual spesifikasi (JSU) yang setara ditetapkan untuk melihat tahap penguasaan murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 dalam semua mata pelajaran setelah melalui proses PdPR serta persekolahan secara penggiliran pada tahun 2021.

Perkara ini membolehkan pihak sekolah merancang catch up plan’untuk murid apabila mereka kembali ke sekolah pada tahun 2022 (Penggal 3) sebelum melanjutkan pembelajaran ke peringkat seterusnya.

Tetapi bagi Nurzuhaili Shamsudin yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda, Kedah, dia terkejut apabila perkongsian tentang kertas soalan esei Bahasa Inggeris salah seorang anak muridnya mengundang kemarahan segelintir warganet di Facebook.

IMG_3595

NURZUHAILI memberi penjelasan berkenaan hantaran yang dimuat naik olehnya sebelum ini.— Facebook.

Menerusi hantaran guru berkenaan, dia hanya sekadar mahu meluahkan perasaan sedih kerana ramai dalam kalangan pelajarnya tidak boleh menjawab soalan dan ada yang menyalin semula petikan lain.

“Tak pernah terniat di hati pun nak mengaibkan atau memalukan pelajar, hanya sekadar luahan sedih apabila melihat jawapan sebegitu yang ditulis. Nama pelajar tidak didedahkan, jadi saya rasa tiada isu di sini.

“PdPR yang terlalu panjang, menyebabkan anak-anak ni hilang minat untuk belajar. Kelas online pun semakin lama semakin ramai pelajar tak masuk.

“Banyak cabarannya kelas online ni, bukan semua orang mampu bertahan. Sebaik sahaja diumumkan kelas secara bersemuka, terus diumumkan pentaksiran setara.

“Walaupun KPM menafikan arahan tersebut, tapi kalau dah satu Malaysia buat pentaksiran, tak mungkin arahan itu turun dari langit?,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Posting yang dibuat oleh Nurzuhaili itu mendapat reaksi positif daripada warganet berbanding hantarannya sebelum ini.

“Saya faham maksud cikgu, yang pernah bergaul dengan anak B40 pasti faham. Terkejut saya baca komen-komen di posting itu.

"Melambangkan masyarakat kita sebenarnya hidup dalam kepompong yang tak pernah tahu tentang keadaan kesusahan orang lain. Cuma suka mengecam, komen setakat nak tambah api dan tak membantu apa-apa," kata seorang warganet Facebook, Fattiyatul Fawwiza Ibrahim.

IMG_3598

TANGKAP layar komen warganet berkenaan hantaran tersebut.— Facebook.

"Setuju sangat, anak-anak kita juga alaminya bersama anak didik kita. Saya sering terfikir anak-anak B40 ini, kasihan..siapa yang membantu melaksanakan PdPR jika ibu bapa mereka bekerja," komen seorang pengguna Facebook, Rahyati Mohd Ramli.

"Kita baca je semua komen-komen tu, kadang-kadang orang tak tahu masalah sebenar pelajar itu. Tak boleh nak salahkan sesiapa sebenarnya, mungkin ada sesuatu yang menjadikan budak itu begitu.

"Doakan yang baik-baik, ingat yang baik-baik itu lebih bagus. Semoga suatu hari pelajar itu akan sedar kesilapannya dan menjadi orang yang berguna," kata seorang lagi pengguna Facebook, Nur Nazuha. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram