Pada Selasa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) tahun 2021 akan dilaksanakan pada Februari dan Mac tahun 2022.
Justeru, timbul kebimbangan sama ada para pelajar cukup bersedia untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, tempoh persediaan untuk pelajar menghadapi peperiksaan jelas mencukupi dengan pemakluman awal sesi persekolahan yang baharu oleh KPM.
"Tambahan pula, pentaksiran lisan untuk subjek tertentu SPM telah mula dijalankan di dalam bulan November ini. Jadi ia membantu pelajar untuk membuat persediaan yang lebih rapi dan terancang," ujarnya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, kata Mohd Azizee, bukan sahaja pelajar, malah sebahagian guru-guru telah selesai menghabiskan sukatan dan sesi bersemuka untuk pelajar peperiksaan.
Baginya, situasi tahun ini lebih baik yakni lebih tersedia berbanding tahun lepas.
"Jika keputusan SPM ketika pendemik mencatat keputusan yang baik dan cemerlang, saya jangka, tidak mustahil keputusan 2021 akan lebih baik dan ada peningkatan," ujarnya.
Mohd Azizee juga tidak menolak bahawa sistem pembelajaran samada ada Pemakluman Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) atau sistem pergiliran ke sekolah sememangnya ada cabaran tersendiri kepada pelajar mahupun guru.
"Semua cabaran itu perlu ditangani dengan sebaiknya dan kita perlu terima hakikat bahawa ini adalah norma baharu pendidikan.
Mohd Azizee Hasan
"Tinggal lagi sejauh mana guru dan pelajar dapat memanfaatkan pengalaman yang telah mereka lalui sebelum ini untuk meningkatkan kualiti pencapaian dan lebih cukup persediaan untuk pembelajaran dan menghadapi peperiksaan," ujarnya.
Beliau juga mengesyorkan KPM supaya meningkatkan akses pendidikan digital di samping mengurangkan beban tugas guru yang tidak sepatutnya.
Ujarnya, masyarakat perlu bersedia dengan kaedah pembelajaran secara hybrid dan menyesuaikan diri untuk tujuan tersebut terutama aspek pendigitalan pendidikan.
Manakala, dari aspek keburukan sistem PdPR pula, menurutnya ialah kebimbangan keciciran murid jika tiada pelan pemulihan pendidikan pasca covid 19.
"Perlu ada pelan intervensi terutama menangani isu 3M (membaca, menulis dan mengira)," kata Mohd Azizee. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram