Ujian khas masuk MRSM bagi murid tingkatan satu, empat pada Disember


  • Primer
  • Ahad, 28 Nov 2021

KESEMUA calon yang terlibat akan menduduki ujian tersebut di 61 buah pusat ujian terpilih yang antara lain melibatkan 53 buah MRSM di seluruh Malaysia. — Gambar hiasan

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) akan mengadakan Ujian Khas untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi pelajar tingkatan satu dan empat tahun 2022, pada Disember depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi tingkatan satu dan empat itu, bermula 3 Disember bagi calon yang berada di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu.

"Manakala bagi calon dari negeri yang lain akan bermula pada 4 Disember 2021,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan buku bacaan dan topi keledar kepada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah-sekolah di bawah Parlimen Padang Terap, di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap di Kuala Nerang, Terengganu pada Ahad.

Mahdzir berkata, calon terlibat akan dipanggil menduduki ujian itu secara berperingkat sehingga 30 Januari tahun depan dengan semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh disemak secara dalam talian bermula 10 pagi Isnin, melalui Portal Rasmi Mara serta akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan semasa permohonan.

Beliau berkata, calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan itu nanti.

"Kesemua calon yang terlibat akan menduduki Ujian Khas ini di 61 buah pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 buah MRSM di seluruh Malaysia dan lapan buah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) lain di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Mahdzir berkata, calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.

"Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan, dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, Mara menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke tingkatan satu manakala untuk tingkatan empat pula sebanyak 17,350 permohonan bagi sesi persekolahan tahun depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram