GUA di Bandar Seri Botani, Ipoh menjadi bualan hangat warganet khususnya warga Perak yang marah dengan tindakan negeri itu yang membisu dengan tindakan sesetengah pihak menjadikan gua itu sebagai rumah ibadat.
Perkongsian dari Uzaer Sohigh melalui halaman Perak Kini mempersoalkan apakah tindakan kerajaan negeri Perak yang menghilangkan nilai sejarah dan estetika negeri itu.
"Berapa banyak lagi tempat akan terus diceroboh tanpa pengetahuan orang awam? Kami yang kaki rintis dan explore saja yang tahu dan ada data kami sendiri.
"Dari sekitar 150 gua (tidak termasuk gua yang telah komersial) yang team kami (Geonat Association) lakukan eksplorasi di sekitar Lembah Kinta, secara kasar boleh cakap hampir sebahagiannya sudah dibangunkan secara haram. Illegal construction," tambahnya.
Uzaer Sohigh berkata, isu ini bukan setahun dua berlaku dan mungkin isu ini jarang dibincangkan kerana khuatir membabitkan isu perkauman.
"Sesuatu tapak yang mempunyai aset alam semula jadi adalah hak semua untuk diwarisi, bukan milik eksklusif untuk satu kelompok yang mendiami semata," tambahnya.
Warganet lain turut menyuarakan pendapat mereka mengenai isu ini yang berpendapat pihak kerajaan negeri Perak perlu melihat isu ini sebagai isu besar kerana ia melibatkan ekosistem pelancongan negeri itu.
Tangkap layar komen dari Facebook
"Berapa banyak gua di kawasan Kinta ni jadi tempat pemujaan. Pihak berwajib perlu buat rondaan dan runtuhkan semuanya jika didapati menceroboh," pendapat dari Ahmad Zaki Mi.
"Beginilah jadinya kalau pemimpin asyik nak rebut kuasa yang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) asyik lena," komen dari pengguna Facebook Aris Kasura.
"Mungkin nampak cantik kepada sesetengah pihak, sesungguhnya cantiknya bukan neutral. Kejadian semula jadinya telah lenyap dan tidak dapat dikembalikan. PBT sila ambil tindakan kepada pihak berkenaan," kata pengguna Facebook Rus Lee Fareen.
Dalam pada itu, Majoriti telah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut kerana ia berkait dengan isu agama dan menyerahkan perkara itu kepada Pejabat Menteri Besar (MB) Perak.
Majoriti masih menunggu respons daripada Pejabat MB Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram