'Post' kartun KPDNHEP perli pengguna kena kecam


KARTUN yang dimuatnaik di Facebook rasmi KPDNHEP pada Rabu. — Facebook KPDNHEP

SEJAK beberapa lepas, kecoh di media sosial mengenai kenaikan harga barang yang mendadak terutamanya bagi bahan bahan dapur seperti beberapa jenis sayur dan bahan mentah lain.

Kenaikan harga barang yang dianggap melampau itu membuatkan ramai netizen meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka di media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Susulan itu, pada Rabu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memuatnaik satu kartun di Facebook kononnya mahu menjelaskan situasi yang berlaku.

Menerusi kartun yang memaparkan dua orang wanita yang sedang berborak itu, KPDNHEP seolah-olah memerli tindakan netizen yang hanya meluahkan kenaikan harga barang di ruangan komen, tetapi tidak menggunakan saluran yang betul iaitu melalui talian WhatsApp rasminya.

Tindakan itu mendapat kecaman pengguna Facebook di ruangan komen kartun tersebut yang mengatakan bahawa KPDNHEP sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap perkara itu tidak seharusnya menyalahkan pengguna, sebaliknya mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi isu tersebut.

Netizen juga berpendapat bahawa KPDNHEP sendiri seharusnya turun padang bagi memantau kenaikan harga barang dan tidak mengharapkan orang awam semata-mata untuk melakukan tugas mereka.

netz kpdnhep

Antara komen daripada netizen mengenai kartun yang dimuatnaik KPDNHEP. — Facebook

"Rakyat nak kerajaan kawal harga barang bukan post macam ni, ini tak selesai masalah. Pergi bagi subsidi pada semua supermaket baru harga barang turun. Harga barang naik sebab tidak dikawal dari pengeluar dan pemborong. Buat kerja sikitlah," luah pengguna Facebook Kami Sayang Muhyiddin.

"Saya berpendapat KPDNHEP tidak bertindak professional dengan mengeluarkan posting ini. Aduan pengguna adalah sumber kedua, sumber utama adalah dari pengawasan dari pegawai-pegawai KPDNHEP sendiri. Bila media sosial rancak mengutuk maksudnya tak buat kerjalah... Kalau orangg ramai snap dan report, buang sahaja pegawai-pegawai KPDNHEP... berani?" kata Mohd Amli Abdullah.

"Maaf nak tanya, pegawai KPDNHEP ni bukan orang kebanyakan yang juga membeli barang keperluan seharian?Atau dah digantikan dengan robot? Orang awam akan juga buat aduan. Kamu juga boleh buat aduan jika mengalami situasi yang sama dan kamu juga selepas tamat bekerja dan pulang ke rumah, maka kamu adalah orang awam. Penjawat awam janganlah jadi burung tiung yang dok petik ini SOP ini SOP," ujar Suhaimi Abdul Manan.

"Elok tutup atau bubar saja kementerian ni. Asyik salahkan pengguna saja... Tukar jadi kementerian peniaga lagi baik. Rakyat dah mudahkan kerja korang lagi nak mudah. Borang complaint mengalahkan nak tuntut hak orang. Pengguna bijak dah, team kementerian jangan bingai duduk pejabat layan Facebook saja... Bangun, jangan makan gaji buta," kata Rayman Ray. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram