'Siasat guru diasingkan dalam stor zink gara-gara belum divaksin'


KEADAAN 'bilik' pengasingan yang berbumbung dan berdindingkan zink seperti didakwa guru terbabit dalam rakaman videonya. — Facebook

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa segera menyiasat isu seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Ipoh, Perak yang mendakwa dia diasingkan pihak sekolah di dalam stor zink dipercayai kerana belum menerima vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa menerusi Facebooknya berkata, pihak sekolah juga boleh tampil memberi penjelasan berhubung pengasingan guru terbabit.

"Mohon KPM menyiasat perkara ini. Pihak sekolah juga boleh tampil memberi penjelasan. Kenapa diasingkan? Adakah ia berkaitan isu vaksin atau apa?," soalnya di Facebook milik beliau pada Selasa.

tok man fb

TANGKAP layar status Tok Man menggesa KPM menyiasat insiden guru diasingkan dalam stor zink pada Selasa. — Facebook

Azman yang menggunakan nama Tok Man Shah Alam berkata, aduan guru itu yang dirakam dalam bentuk video tular di media sosial dan jelas menyatakan bahawa ia satu bentuk tindakan zalim pihak pentadbir sekolah.

Terdahulu, video guru terbabit dikenali sebagai Cikgu Hafizan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael, Ipoh tular di aplikasi TikTok sebelum tersebar di Facebook.

Menerusi rakaman video itu, guru berkenaan mendakwa dia diasingkan di sebuah bilik yang asalnya stor Pendidikan Jasmani (PJ) sebelum ditukar ke stor tukang cuci yang beratap dan berdindingkan zink.

"Jadi seperti yang diketahui, saya diasingkan.. Jadi saya diberikan sebuah bilik untuk duduk berasingan.

"Bilik yang diberikan asalnya stor PJ, jadi stor ini ada kerusi dan meja tapi (saya) ditukar kerana bilik ini dikatakan kawasan laluan (murid) dan banyak barang sukan," katanya.

cikgu stor

TANGKAP layar aduan Cikgu Hafizan yang dimuat naik di aplikasi TikTok. — Facebook

Guru itu kemudian memaklumkan bahawa dia dipindahkan ke sebuah stor zink sebagai bilik pengasingan guru, namun kesal kerana 'bilik' berkenaan tidak sesuai kerana keadaan di dalam terlalu panas dan tiada fasiliti seperti palam elektrik dan kerusi untuk membolehkannya membuat kerja dengan selesa.

"Ini merupakan sebuah stor cleaner, jadi dah cuba masuk dalam 'bilik' itu, cuma ada meja dan tiada kerusi. Ada kipas tapi tiada plug elektrik untuk saya guna sama ada untuk sambung komputer riba dan sebagainya.

"Bilik ini diperbuat daripada zink. Saya masuk sekejap saja memang tak tahan lah sebab panas sangat. Saya kena duduk dalam kereta ambil angin aircond (pendingin hawa)," ujarnya kesal.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu dikatakan tular sejak malam Isnin selepas dimuat naik dan mendapat lebih 1.2 juta tontonan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram