Pekerja kedai roti terkejut dapat tip RM8,000


  • Benua
  • Khamis, 25 Nov 2021

PEKERJA kedai roti ini menunjukkan salinan resit pelanggan yang memasukkan tip sebanyak AS$2,000 (RM8,000) ke dalam bilnya. — Agensi

HARI bertuah buat seorang pekerja di sebuah kedai roti di Bellevue, Nebraska, Amerika Syarikat selepas dia menerima tip sebanyak AS$2,000 (RM8,000) daripada salah seorang pelanggan, dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Pekerja The Omaha Bakery itu, Preston Rath berkata, seorang pelanggan bernama Nicholas memesan dua roti ban yang harganya AS$5 (RM20), dan kemudian memasukkan sejumlah AS$2,000 (RM8,000) ke dalam bilnya sebagai tip.

Menurut Rath, dia menegur pelanggan itu kerana merasakan jumlah tip yang diberikan oleh pelanggan berkenaan terlalu banyak.

"Saya beritahunya bahawa amaun tip yang dihulurkan mungkin tersilap kerana jumlah tersebut terlalu besar.

"Namun, dia segera membalas dengan memberitahu jika saya tidak menekan butang 'OK' pada skrin mesin juruwang, dia akan berbuat demikian," katanya kepada KETV seperti dipetik portal upi.com.

The Omaha Bakery kemudian berkongsi gambar resit itu di Facebook.

Pemilik bakeri berkenaan, Michelle Kaiser berkata, tip itu akan dikongsikan kepada semua pekerjanya.

"Pelanggan ini tahu kami berdepan masa sukar ketika pandemik Covid-19. Dia perasan pekerja kedai ini bekerja bersungguh-sungguh demi menyara hidup," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram