Polis tendang, acu pistol pada kepala murid sekolah ditahan


  • Benua
  • Selasa, 23 Nov 2021

SUSPEK menendang dan mengacukan pistol ke kepala mangsa dalam kejadian pada Khamis lalu. — Gambar hiasan

JABATAN Profesi dan Pengamanan (Propam) Polis Daerah (Polda) Sulawesi Selatan (Sulsel) berjaya menahan seorang pegawai polis koboi berpangkat Brigadier dikenali Bripka U yang disyaki melakukan keganasan terhadap seorang murid sekolah di daerah Bone dalam wilayah itu.

Bercakap kepada wartawan Detik.com, Ketua Propam Polda Sulsel, Kombes Agoeng Adi Koerniawan berkata, pegawai polis yang dipercayai menendang dan mengacukan pistol ke kepala mangsa ditahan di Desa Mamminasae, Lamuru dalam daerah Bone pada Isnin.

"Sudah, sudah kita tahan, suspek juga sudah diperiksa," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Agoeng berkata, hasil siasatan awal mendapati Bripka U adalah suspek yang mengacukan pistol kepada mangsa.

"Ada ugutan menggunakan pistol. Atas kelakuannya itu, Bripka U akan dikenakan tindakan tatatertib dan dibicarakan atas kesalahan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Bripka U disyaki mengugut seorang murid yang masih di sekolah menengah rendah menggunakan pistol dalam kejadian pada Khamis lepas kira-kira jam 8 malam ketika mangsa sedang berjalan di Jalan Desa Mamminasae di Lamuru, Bone.

Ayah mangsa, Andi Tenri berkata, anaknya dikejar suspek sejauh kira-kira 300 meter sebelum ditahan.

"Ketika itu anak saya ditangkap, kemudian ditendang di bahagian lutut dan diacukan pistol ke kepalanya.

"Akibat tindakan kasar itu, anak saya mengalami kejutan teruk hingga dia terkencing dalam seluar kerana terlalu takut," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram