ORANG atasan disarankan untuk mengubah budaya membebankan guru dengan tugas bukan hakiki, kata pakar pendidikan.
Dr Anuar Ahmad menegaskan, bukan hanya 'orang luar' yang tidak faham dengan keadaan tersebut, malah ada masanya 'orang atas' juga tidak faham keadaan orang di bawah.
Justeru, beliau yang juga pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM itu berkata, kesan akhirnya sudah tentu membabitkan murid-murid.
"Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang seronok dan menggembirakan buat anak-anak kita.
"Mulakan dengan menghormati dan menghargai urusan hakiki guru-mengajar," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyifatkan tugas guru kini dilihat terlalu membebankan dan isu guru dibebankan dengan kerja pentadbiran bukan perkara baharu, malah ia sering menjadi 'keluhan' warga pendidik.
Presidennya, Mohd Azizee Hasan mendedahkan, tugasan guru kini bukan sahaja menyampaikan ilmu dan mengetengahkan bakat generasi muda, sebaliknya dibebankan dengan pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), penilaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), maklumat pelajar B40 untuk dapatkan bantuan termasuk pemulangan duit makanan asrama.
Beliau berkata, walaupun pelbagai kajian dan perbincangan dibuat, ia seolah-olah tiada jalan penyelesaian.
Malah, katanya, ia ditambah dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan terkini pembelajaran bersemuka dengan penggiliran.
Mengulas lanjut, pengguna Facebook, Ulfa Marha mendakwa, perkara itu terjadi disebabkan guru tidak pernah dianggap pegawai pendidikan sebaliknya hanya disifatkan sebagai cikgu cabuk atau tidak berguna.
"Bercukurlah (bersyukurlah) cikgu masih ada kerja lagi. Ikhlas hati cikgu, nanti tak berkat gaji.
"Cikgu DG (gred) 52 pun masih lagi bertugas jaga pagar, ambil suhu budak, jaga rehat budak, jaga balik budak, kemas kelas, jaga koperasi. Haish, bandingkan dengan penjawat awam lain yang berdg52.
TANGKAP layar komen pengguna Facebook berhubung beban kerja ditanggung guru.
Dakwanya lagi, guru tingkatan juga terpaksa mengambil berat mengenai masalah murid hingga hal peribadi.
"Sesetengah cikgu ambil tahu sampai makan, telefon dan duit masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun cikgu hantar sampai rumah.
"Belum sentuh bab key in, pelaporan dan laporan, kemas mengemas, mengecat, memanjat, meeting salahkan guru, cantik-cantikkan data dan fail, cikgu pastikan itu ini, tapi bila pelajar tak boleh skor apa cikgu buat?
"Gah sangat arahan cikgu buatlah PAK21, tapi celah mana cikgu nak sediakan bahan bantu mengajar yang betul berkesan?" soalnya kesal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram