Kes Zulfarhan: Heret juga bomoh ke muka pengadilan


ZULFARHAN Osman (paling kanan) meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 akibat kecederaan didera. — Bernama

ORANG ramai sudah semestinya kesal dengan tindakan enam suspek yang didapati bersalah dalam kes pembunuhan pelajar Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Namun, terdapat satu perkara lagi yang mengganggu emosi ramai dalam kes sama iaitu tilikan seorang bomoh yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu.

Mengambil pendekatan perkara itu, Dr Saadan Man berkata, satu nyawa melayang akibat mempercayai bomoh berkenaan.

Justeru, Pensyarah Kanan (Hukum Islam Semasa) Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) itu menegaskan, bomoh itu sepatutnya dibawa ke muka pengadilan.

“Dakwaan beliau menilik dengan solat hajat dan sebagainya adalah sekadar tempelan kepada amalan tilikan yang diharamkan.

“Ia cubaan untuk menampakkan amalan haram itu sebagai Islamik. Dosa menilik ditambah dengan dosa merosakkan agama,” katanya menerusi laman Facebook.

Semasa perbicaraan Zulfarhan pada 16 Mei 2018, seorang bomoh, Abdullah Md Seh, yang juga bapa kepada tertuduh Muhamad Ashraf Abdullah dilaporkan memberitahu mahkamah beliau mendapat 'petunjuk' bahawa Zulfarhan mencuri komputer riba.

Abdullah dilaporkan berkata, 'petunjuk' itu diperoleh melalui gerak hatinya dan melihat nama mangsa timbul di pandangan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Pada 2 November lalu menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan, empat tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Semuanya terlepas hukuman gantung sampai mati selepas hakim Azman Abdullah membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengubah sabitan bawah Seksyen 304 (a) kanun sama.

Mengulas lanjut, Saadan Man berkata, sepatutnya bomoh berkenaan menunaikan solat hajat untuk mengembalikan komputer riba yang hilang.

“Dan sebagai orang tua, nasihatilah pelajar-pelajar itu untuk buat laporan polis, ikut undang-undang dan sistem, bukan tunjuk pandai menilik hingga memfitnah dan merosakkan segalanya.

“Mereka ini juga telah menjejaskan nama baik pengamal perubatan Islam yang diiktiraf syarak,”katanya.

Seperti sedia maklum, katanya, pengamal perubatan dilarang sama sekali melakukan tilikan.

Tambahnya, pengamal perubatan menggunakan ayat ruqyah syariah dan kaedah-kaedah yang diharuskan syarak untuk rawatan, bukannya membuat tilikan hilang barang atau mencari pencuri yang menjadi tugas pihak polis.

“Kalau ada yang menilik, jelas ia bomoh temberang dan masuk dlm kategori 'arraf'.

“Eloklah diadakan satu undang-undang yang mengawal aktiviti perbomohan seumpama ini kerana jelas dalam kes Zulfarhan ini dan beberapa kes lain seperti Mona Fendi dan sebagainya.

“Bomoh telah menyebabkan berlakunya jenayah pembunuhan. Sekat sebelum menjadi lebih kronik,” tegasnya.

Hantaran berkenaan menarik pengguna Facebook untuk mengulas termasuk نيء عزلان محمد من yang berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan ke atas bomoh terbabit yang disifatkannya sebagai penipu dan pemfitnah.

template (55)

Komen-komen netizen di laman Facebook berhubung bomoh yang terbabit dalam kes Zulfarhan.

"Benar Dr. Paling banyak tilikan adalah yang membawa kepada kerosakan hubungan sesebuah keluarga," kata Zuraida Abdul Latif.

Mohd Apandi Hussian berkata: "Penunggang... Kerajaan patut lakukan sesuatu kepada penggunaan istilah 'pengamal perubatan Islam' ni." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Zulfarhan, UPNM, bomoh, Saadan Man