Hukuman pelaku arwah Zulfarhan boleh berubah


  • Massa
  • Jumaat, 05 Nov 2021

Enam penuntut UPNM didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan. — Gambar fail/The Star

HUKUMAN yang dijatuhkan ke atas enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, boleh berubah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika timbul keraguan terhadap bukti yang dikemukakan sebelum ini.

Peguam, Adibah Ishak berkata, prinsip 'beyond reasonable doubt' adalah terpakai bagi kes-kes jenayah berat seperti membunuh yang mana sekiranya terdapat sedikit keraguan daripada bukti-bukti sedia ada, hukumannya boleh berubah.

"Perjalanan kes (arwah Zulfarhan masih panjang). Penghakiman yang diberikan baru di peringkat Mahkamah Tinggi dan pihak pendakwaan akan merayu di Mahkamah Rayuan pula (untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh)," katanya menerusi catatan di Facebook.

Sementara itu, bercakap kepada Majoriti, peguam Datuk Salehuddin Saidin berkata, ibu bapa atau individu lain yang terkesan dengan kematian arwah Zulfarhan boleh mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman terhadap pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ini kerana katanya, institusi pendidikan itu sepatutnya menjadi tempat yang selamat kepada murid-murid untuk menimba ilmu.

"Memang boleh saman (universiti) terlibat dan saya percaya keluarga sudah berbuat demikian. Jika tidak, pihak universiti pastinya sudah membayar ganti rugi atas insiden yang terjadi," katanya.

Pada Rabu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan enam penuntut UPNM atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan, yang sebelum ini mereka didakwa atas pertuduhan membunuh.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun apabila ditanya sama ada AGC akan memfailkan rayuan untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh, berkata: "Ya, kami akan memfailkan rayuan.”

Keenam-enam tertuduh terselamat daripada hukuman gantung tetapi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah selepas mereka didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan, empat tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram