Pertahankan arwah Zulfarhan, tuntut juga keadilan buat Wan Ahmad Faris


  • Massa
  • Khamis, 04 Nov 2021

MAYAT Allahyarham Wan Ahmad Faris diusung anggota polis untuk dibawa ke hospital pada Disember 2013.

BELUM pun tamat kisah kematian pelajar Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, kini muncul satu lagi kes misteri yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Seorang wanita mengharapkan sebuah keadilan buat kematian abangnya yang masih tiada jawapan, walaupun telah berlalu sejak sekian lama.

Mungkin ramai tidak tahu kisah kematian seorang pelajar sekolah tahfiz yang berlaku kira-kira lapan tahun lalu.

Dengan tumpuan tertumpu kepada kes Zulfarhan, wanita yang dikenali sebagai Wan Aishah Wan Abdul Rahman tampil mengingatkan seluruh rakyat Malaysia tentang kisah kematian abang kesayangannya.

Wan Aishah berkata, arwah abangnya Wan Ahmad Faris meninggal dunia selepas dipercayai dibunuh dan digantung di dalam sebuah tandas di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, dekat Ketereh, Kelantan.

Beliau berkata, Allahyarham Wan Ahmad Faris meninggal dunia pada 11 Disember 2013 ketika berusia 16 tahun.

Katanya, pihak sekolah menghubungi bapanya sehari selepas kematian mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Kota Bharu, Kelantan.

Pada masa sama, katanya, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah kes mati dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

"Tindakan telah dibuat oleh lawyer (peguam) kami, menghantar surat kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara bagi meminta kes ini disiasat.

"Tetapi sehingga ke hari ini, walaupun Peguam Negara mengarahkan pihak polis menyiasat, tetapi pihak polis tidak ambil sebarang tindakan," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya mengenai keadaan ibu bapanya ketika ini, Wan Aishah berkata, kesihatan kedua-duanya agak merosot termasuk kehilangan berat badan serta berwajah suram, kerana memikirkan nasib anak mereka yang masih tidak terbela.

Majoriti terpanggil untuk menghubungi Wan Aishah apabila dia mengulas tentang kes kematian Allahyarham Zulfarhan dengan berharap siasatan dilakukan ke atas kes kematian arwah abangnya.

Menerusi komen di laman Facebook, Wan Aishah yang kesal berkata, arwah abangnya bukan sahaja dibunuh malah dituduh membunuh diri.

"Kata dalam siasatan, tapi sudah 8 tahun kes ini. Kasihanlah pada mak ayah saya yang sudah berumur ni. Ke hulu hilir jumpa dengan orang-orang atasan yang mereka anggap boleh bantu selesaikan masalah ini.

WhatsApp Image 2021-11-03 at 4.11.58 PM

Komen Wan Aishah yang menuntut keadilan terhadap kematian abangnya pada lapan tahun lalu.

"Tapi semuanya sia-sia sahaja. Kasihanlah pada mak saya yang tiap-tiap malam menangis. Air mukanya sudah tiada ceria. Suram saja.

"Satu-satunya anak sulung lelaki dalam keluarga dibunuh dengan kejam malah dituduh pula bunuh diri. Tolonglah siasat dengan cepat kes ini. Kami sekeluarga mahukan keadilan," katanya.

Pada 11 Disember 2013, mayat Wan Ahmad Faris ditemui tergantung dalam keadaan separuh bogel.

Mayatnya ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama itu.

Hasil bedah siasat ke atas mayat itu yang dijalankan oleh pakar forensik mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Seluruh negara pada ketika ini dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa yang menyatakan llima tertuduh yang menyebabkan kematian Zulfarhan, disifatkan sebagai ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Zulfarhan meninggal dunia selepas dibuli dan didera dengan 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata, selepas mengambil kira keterangan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian mangsa bukan suatu kematian yang mengejut selepas dicederakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram