'Sumpahan siakap Langkawi' berterusan, wanita mengadu jadi mangsa terbaru


  • Tular
  • Sabtu, 06 Nov 2021

WANITA itu mendakwa dia membuat pesanang secara rambang kerana kesuntukkan masa.

SEORANG lagi pelanggan mendakwa menjadi mangsa di sebuah restoran makanan laut di Pulau Langkawi, Kedah selepas tular dua kes melibatkan harga makanan yang mahal.

Menerusi satu hantaran Facebook yang dimuat naik oleh Pok Mark, kejadian itu berlaku sewaktu dia bercuti di Pulau Langkawi bersama keluarganya pada Sabtu (23 Oktober).

Selepas seronok bergambar di sekitar pulau, pelanggan tersebut dibawa ke destinasi terakhir bersama keluarganya untuk melihat pertunjukkan ikan dan menjamu selera di restoran berkenaan.

"Seorang wanita datang memberi buku menu waktu kami semua duduk di meja makan. Mula-mula kami order tanpa melihat menu, ada yang nak nasi goreng, mee goreng la.. pendek kata goreng-goreng la.

"Akak tu kata goreng-goreng tak ada. Saya fikir bahan masakan habis mungkin sebab dah petang, jadi yang ada hanyalah menu berlauk sahaja.

"Kami order secara rambang sebab buku menu ada satu sahaja dan nak senangkan kerja dia. Saya ada minta buku menu lebih, tapi dia buat tak endah," katanya yang membuat pesanan makanan untuk 19 orang termasuk kanak-kanak.

IMG_2548

Tangkap layar luahan seorang pelanggan yang mendakwa dikenakan caj mahal ketika makan di Langkawi.

Menurut pelanggan itu, pada mulanya ikan siakap tiada di dalam menu dan dia memesan lauk ikan lain sebanyak tiga ekor yang bernilai RM 214.20.

Tetapi pekerja restoran tersebut tiba-tiba memberitahu bahawa ikan siakap sudah ada semula di dalam menu dan pelanggan mengambil keputusan memesan seekor sahaja setelah dimaklumkan saiznya yang besar sudah cukup untuk mereka sekeluarga.

Setelah bersetuju dengan pesanannya, mereka sekumpulan mula meneka berapa jumlah keseluruhan bil yang bakal dikenakan.

"Mula-mula kami berteka-teki juga la, mungkin RM 200.00 atau RM300.00. Paling mahal pun RM 500.00 sebab kami ramai kan...rupa-rupanya empat angka.

"Air pun cekik tengkuk tahap tak mati, inikan pula ikan siakap yang katanya dari kayangan tapi keturunan Langkawi.

"Itu baru ikan, harga air kosong pun sudah RM 5.00 mau tersedak nak minum," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Terkejut dengan caj yang dikenakan untuk air kosong, dia tidak dapat membayangkan berapa harga jika mereka semua memesan air manis.

Oleh kerana mereka berkunjung ke restoran tersebut dalam kumpulan yang besar, bayaran bil makanan berjumlah RM 1234.20 itu dikongsi bersama.

Majoriti pada Khamis melaporkan rintihan seorang pengguna Facebook, Muhammad Faris Zulkarnain yang terkejut apabila dicaj sehingga RM 1196.80 untuk sajian seekor ikan siakap.

Muhammad Faris mendakwa, kejadian itu berlaku pada Selasa (2 November) semasa dia dan keluarga serta rakan-rakan sekerja menjalani aktiviti menaiki bot (Mangrove Tour Langkawi) mengelilingi beberapa pulau dan tempat menarik di sana.

Kemudian, seorang pengguna Facebook, Niena ZM menceritakan pengalamannya sewaktu bercuti bersama keluarga di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Menerusi hantaran wanita berkenaan, Niena memberitahu, kejadian itu berlaku pada Rabu (3 November) menjamu selera di sebuah kedai makan terapung selepas menaiki bot untuk melihat keindahan alam di Kilim Geoforest Park.

Dakwanya lagi, setelah selesai makan dan ikan yang ditempah masih berbaki separuh dan dibungkus, dia terkejut apabila mahu membayar di kaunter bil yang diberi tertera nilai RM1852.50 dan memandangkan dia tidak mempunyai wang tunai dan dana kad debit yang mencukupi, Muhammad Faris terpaksa membayar amaun tersebut dengan menggunakan kad kredit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram