Tukar kenderaan rasmi menteri kepada Vellfire lebih jimat — Kementerian Kewangan


  • Primer
  • Ahad, 07 Nov 2021

GAMBAR Toyota Vellfire milik kerajaan yang tular di media sosial baru-baru ini. — Facebook

PENUKARAN Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) daripada model Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L dapat menjimatkan perbelanjaan sewaan kenderaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Ahad.

MOF menerusi kenyataan memaklumkan kos sewaan bulanan bagi kereta Toyota Vellfire 2.5L adalah lebih rendah iaitu RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium iaitu RM4,854.41.

"Penukaran model KRJ juga dibuat berikutan penamatan pengeluaran Proton Perdana 2.4 Premium pada 2014,” menurut kenyataan itu.

Tular di media sosial baru-baru ini mengenai penggunaan model kereta Toyota Vellfire 2.5L bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri apabila proses penggantian kenderaan itu dimulakan pada April lalu.

Menurut kementerian itu, cadangan penukaran model kereta yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri itu telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, namun hanya dilaksanakan tahun ini.

"Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram