'Pelajar kini lemah dan manja, tak dapat beza isu buli dan mengajar'


PELAJAR sepatutnya bersyukur kerana setiap syarikat menawarkan kemahiran, ilmu, pendekatan, persekitaran dan komuniti baharu kepada mereka. — The Star

PEMBERIAN elaun kepada pelajar latihan industri sebanyak RM900 mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam.

Ada yang bersyukur dengan pengumuman itu, namun ada juga yang berpendapat bahawa jumlah itu terlalu tinggi bagi buat pelajar yang sebahagiannya hanya menjalani latihan berkenaan seperti sekadar melepaskan batuk di tangga.

Perkara sama turut diluahkan pengguna laman sosial Facebook, Ija Juhari yang berpendapat bahawa perkara itu perlu mengambil sudut pandang daripada pihak majikan.

Kongsinya pada Sabtu, tidak mengapa bagi pihak syarikat untuk tidak mengambil pelajar latihan industri kerana ia bukan satu kewajipan.

Ija turut mencadangkan supaya pihak universiti memberikan elaun tersebut kepada majikan untuk mengambil pelajar mereka menjalani latihan industri bagi memberi keadilan kepada majikan.

"Bukan masalah syarikat tidak mahu bayar elaun, tetapi memang mereka berhak tentukan berapa jumlah yang sesuai berdasarkan kemahiran dan pengetahuan pelajar.

"Syarikat juga mahu pulangan atas perbelanjaan (pelaburan) yang dilakukan. Pelajar dulu boleh sahaja jalani latihan industri tanpa elaun," kongsinya.

Tulisnya lagi, pelajar sepatutnya bersyukur kerana setiap syarikat menawarkan kemahiran, ilmu, pendekatan, persekitaran dan komuniti baharu kepada mereka.

Jelasnya, tidak dinafikan bahawa isu buli pelajar latihan industri adalah sesuatu yang salah, namun mereka perlu tahu untuk membezakan tindakan berkenaan dengan mengajar dengan cara tegas.

"Buli tidak mendapat apa-apa kebaikan tetapi mengajar meskipun dengan cara yang tegas membuahkan hasil yang berbaloi.

"Dibuli dan tidak belajar apa-apa patut dilaporkan tetapi jangan samakan dengan mengajar kerana hasilnya pelajar sendiri yang akan mahir dengan kemahiran yang didedahkan kepada mereka," ujarnya.

Tambah Ija lagi sebahagian pelajar masa kini disifatkan sebagai 'lemah serta manja' kerana tidak dapat membezakan buli dan mengajar.

Tidak hanya itu dia juga berkongsi beberapa situasi pelajar yang menjalani latihan industri, antaranya mereka tidak suka mencari alasan untuk cuti, tidak boleh disuruh melakukan tugas luar bidang, kerja lebih masa dan belajar perkara baharu.

Perkongsian Ija turut mendapat sokongan netizen yang kebanyakkan berkongsi kisah semasa menjalani latihan industri dan sikap negatif pelajar yang pernah diambil untuk menjalani latihan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram