ISU doktor kontrak bukanlah satu perkara yang baru di negara ini kerana ia telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu dan masih lagi tidak diselesaikan sehingga kini.
Pada 26 Julai lalu, doktor-doktor kontrak di seluruh negara melakukan satu perhimpunan aman di hospital-hospital kerajaan di bawah satu gerakan yang dipanggil Hartal Doktor Kontrak bagi menuntuk pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji, serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap.
Terbaharu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.
Pengumuman itu bagaimanapun tidak disenangi oleh kumpulan doktor kontrak yang merasakan kerajaan masih tidak menunaikan janji untuk menyerap masuk mereka ke lantikan tetap.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, kira-kira 1,000 hingga 2,000 doktor kontrak mahu berkhidmat di luar negara atas beberapa faktor termasuk kecewa dengan kerajaan kerana tidak ditawarkan jawatan tetap.
Sebahagian netizen di media sosial bersetuju dengan tindakan tersebut dan menyalahkan kerajaan kerana tidak menghargai jasa doktor-doktor di negara ini sebagai punca perkara tersebut.
Antara komen netizen berhubung isu berkenaan.
"Pilihan tepat. Tinggal di negara sendiri ibarat dianaktirikan. Lebih baik berhijrah ke negara lain... ibarat rezeki kalian melimpah ruah. Selamat berhijrah semua," kata Yoga Malar.
"Cadangan yang bagus. Jika kerajaan tidak dapat menyediakan perkhidmatan yang baik, sudah sampai masanya untuk berhijrah," ujar Hisham Al Bakri.
"Balik-balik nak salahkan mereka (doktor) ni tak kenang jasa. Apa diorang ni tak ada impian... Pokok pangkal yang jadi punca adalah sistem gaji kita dan sistem pendidikan kita, yang buat ni semua orang politik... Padahal mereka (ahli politik) inilah gaji paling besar sekali," kata Fitri Aziz Zainal pula.
"Kerajaan tak pernah hargai pekerja profesional! Sebab mereka jimatkan duit untuk poket mereka sendiri," luah Edd WK.
"Rakyat semakin ramai, tapi penjawatan tetap doktor tidak bertambah kerana dasar JPA yang ingin kecilkan lagi saiz penjawat awam. Mungkin kena cuba untuk masuk ke sektor perubatan swasta atau ke luar negara jika tiada perubahan dasar yang besar oleh kerajaan," kata Aaffan Siru. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram