Skim Pekerja Buruh Ladang boleh ubah taraf hidup rakyat — Beruang Emas


BERUANG Emas turut menyatakan bahawa rakyat biasa di Malaysia masih hidup 'tercungap-cungap' untuk meneruskan kelangsungan hidup.—The Star

KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan Australia dalam merangka syarat visa Skim Pekerja Buruh Ladang disifatkan adalah tidak wajar dan menutup peluang rakyat untuk mengubah taraf hidup.

Perkara itu disuarakan seorang pengguna laman sosial Facebook, Beruang Emas dalam ruangan komen hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.



BERUANG Emas berpendapat bahawa Skim Pekerja Buruh yang dicadangkan Australia boleh membantu memacu ekonomi negara. — Facebook

Kata Beruang lagi, meskipun kerajaan memperkenalkan program 'Malaysianisation' bawah Penjana Kerjaya, ia tidak akan banyak membantu kerana faktor gaji minimum rendah.

"Di Australia gaji minimum sekitar AUD$24 (RM75) hingga AUD$25 (RM78) sejam, manakala di Malaysia gaji bulanan RM1,200 (lebih kurang RM5.77 sejam) bagi kebanyakan jawatan.

"Sistem pembayaran gaji juga berbeza di mana Australia mengamalkan pembayaran gaji secara mingguan," tulisnya dalam ruangan komen itu.

Tambahnya lagi, konsep pembayaran gaji di Australia lebih efisien dalam memastikan untuk kelangsungan hidup rakyat tanpa perlu menunggu hujung bulan.

Mengulas tentang perbezaan kos sara hidup penduduk di Malaysia dan Australia, Beruang menghuraikan terdapat perbezaan yang besar yang perlu dikaji oleh kerajaan.

Katanya, pendapatan di Australia antara AUD$840 (RM2,622) untuk 8 jam dan AUD$1,260 (RM3,933) bagi 12jam seminggu.

"Perbelanjaan mingguan yang merangkumi makan, pengangkutan, tempat tinggal dan lain-lain hanya AUD$ 250 (RM780), rakyat masih boleh mengirim wang kepada ibu bapa di kampung sekali gus membantu memacu ekonomi negara (ibu bapa dapat berbelanja lebih).

"Katakan gaji di Malaysia RM1,200, selepas tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tinggal RM1,068 dan belanja bulanan yang dianggarkan RM700, baki yang tinggal hanya RM368.

"Jika pengguna kenderaan, kos selenggara juga perlu difikirkan dan secara logik, rakyat tidak mampu untuk membuat simpanan malah, hidup dengan defisit kewangan jika tidak membuat kerja tambahan," ujarnya.

Kongsinya lagi, dengan kadar gaji yang rendah, rakyat biasa di Malaysia masih hidup 'tercungap-cungap' untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya lagi, bukan semua bernasib baik untuk bekerja dalam sektor kerajaan yang sebahagian besar boleh hidup selesa dengan gaji dan elaun yang diperoleh.

"Gaji seorang menteri sudah puluh ribu seorang, bolehlah tolak Skim Visa Buruh Ladang tawaran Australia itu.

"Kami mahu ubah nasib sendiri tapi peluang dihalang oleh orang-orang yang mengawal peluang di Malaysia," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram