KEPUTUSAN kerajaan untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing dilihat sebagai satu ketidakadilan buat tenaga buruh tempatan dan hanya sekadar mahu mengecap populariti dalam kalangan majikan.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan warga tempatan terlebih dahulu terutama selepas ramai pekerja tempatan kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
"Sepatutnya, kerajaan harus memberi penekanan kepada meningkatkan skil pekerja dan melakukan penjenamaan semula kerja-kerja sedia ada, kemudian melatih pekerja tempatan untuk melakukan multitasking dengan gaji yang berpatutan.
"Sebaliknya, kerajaan lebih cenderung untuk mendengar suara pihak-pihak tertentu yang hanya mahu mengaut keuntungan dengan mempraktikkan penggajian buruh murah. Ini adalah satu perkara yang tidak baik untuk tenaga kerja tempatan," katanya kepada Majoriti.
Katanya, majikan lebih gemar menggaji pekerja asing kerana mereka boleh meletakkan gaji yang murah serta tidak perlu membayar kos tambahan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengumumkan, kerajaan akan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing bagi mengisi kekosongan dalam sektor perladangan mulai November depan.
Pada Rabu, KSM bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan, kerajaan akan terus melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga 31 Disember ini dengan membuka semua sektor kecuali sektor beku.
Mengulas lanjut, Abdul Halim menyoal dasar kerajaan yang mahu membawa lebih ramai pekerja asing sedangkan masih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di negara ini secara haram yang ditahan di pusat tahanan PATI dan masih belum dihantar pulang ke negara asal mereka.
"Sepatutnya kerajaan kena tanya dengan majikan, mana pekerja yang mereka import dahulu? Sepatutnya pekerja baharu hanya boleh diimport selepas pekerja lama dikeluarkan.
"Kerajaan harus tetapkan satu prosedur iaitu pekerja asing hanya boleh diganti jika mereka sah keluar dari negara ini secara fizikal. Jika tidak, siapa yang akan bertanggungjawab apabila pekerja ini menjadi pekerja haram kelak?" soalnya.
Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor
Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa pekerja tempatan memilih kerja dan tidak mahu terlibat dalam pekerjaan ‘3D’ iaitu kotor, bahaya dan sukar, Abdul Halim menafikan perkara itu dan berkata, kerajaan dan majikan harus menyediakan suasana kerja yang setaraf dan sejajar dengan kemajuan teknologi negara.
Katanya, dalam sektor perladangan contohnya, kerajaan mempunyai rizab untuk melakukan pelaburan dalam teknologi bagi memudahkan pekerja, tetapi perkara itu tidak dilaksanakan.
"Kita lihat zaman sekarang penoreh getah masih lagi menggunakan pisau yang sama seperti zaman dahulu, manakala pekerja di ladang kelapa sawit masih lagi mengutip kelapa sawit dari atas tanah menggunakan kudrat mereka. Sepatutnya zaman sekarang kita sudah kutip kelapa sawit dari atas pokok.
"Kerajaan sendiri menyeru rakyat supaya work smart. Jadi dengan tenaga kerja kita yang sedikit ini, pekerja seharusnya dapat melakukan multitasking dengan bantuan teknologi, bukannya kerja-kerja berat," tegas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram