DIKATAKAN ‘double standard’, ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil membidas dakwaan itu dengan menyenaraikan tindakan yang pernah dilakukan beliau semasa memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Syed Saddiq dalam hantaran di laman sosial Twitter pada Ahad menyatakan bahawa sepanjang di Kabinet, dia telah menolak pelbagai manfaat dan kemudahan yang diberikan khusus kepada Menteri.
Katanya, beliau menolak dua permit import (AP) yang diluluskan untuk mengimport kereta mewah semasa menjadi menteri dan turut membuat potongan gaji sebanyak 10 peratus.
“Saya juga menolak banglo yang diperuntukkan serta tawaran membeli sebidang tanah mewah di Putrajaya pada harga diskaun.
“Apabila berkhidmat dahulu, saya juga merupakan menteri pertama yang mengisytiharkan aset dan juga mengamalkan proses tender terbuka supaya orang terbaik dipilih, bukan kroni dan juga keluarga,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, sejak 2019 pihaknya sudah mencadangkan untuk kaji semula elaun menteri dan pertahankan hak penjawat awam.
Beliau turut berkongsi hantaran sama ke akaun Facebook rasminya pada hari sama.
Katanya lagi, pada akhir 2019, Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, ia akan membatalkan elaun perkhidmatan kritikal (BIPK) untuk penjawat awam baharu bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan pada masa depan.
“Saya juga tidak bersetuju dengan pemansuhan elaun berkenaan atas alasan ia akan memberi kesan kepada generasi muda yang menyertai perkhidmatan awam pada tahun berikutnya,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram