'Bila pemimpin tak faham, mulalah campur aduk dasar bahasa'


PTPTN menghantar 70 petugasnya mengikuti kursus Bahasa Mandarin bagi terus memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. — The Star

PADA Khamis, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memaklumkan seramai 70 petugasnya mengikuti kursus Bahasa Mandarin bagi terus memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

Perkongsian kenyataan media itu meraih perhatian netizen, namun rata-rata menempelak inisiatif PTPTN berbuat demikian dengan menyifatkannya memperlecehkan keabsahan peraturan berbahasa kebangsaan.

Malah cadangan itu juga menarik perhatian Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan & Kesejahteraan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad yang berpendapat tindakan tersebut kurang tepat.

Menulis di Facebook, Anuar menempelak pemimpin agensi yang tidak jelas tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dengan dasar bahasa ibunda yang bebas dipelajari.

"Apabila pemimpin sendiri tidak jelas, mereka mula mencampuradukkan dasar bahasa," katanya pada Jumaat.

anuar

STATUS Facebook Dr Anuar yang berpendapat tujuan belajar bahasa ibunda untuk dijadikan dasar perkhidmatan adalah bertentangan dengan undang-undang.

Beliau berkata, tujuan PTPTN mahu kakitangan belajar Bahasa Mandarin adalah baik, namun mestilah atas tujuan pendidikan semata-mata dan bukannya untuk dijadikan dasar perkhidmatan.

Menurutnya, cara pemikiran pengurusan tertinggi PTPTN adalah cara fikir yang 'terkeliru' dan kurang tepat.

"Jika tujuan PTPTN memberikan kemahiran Bahasa Mandarin, Tamil atau Inggeris sekalipun pada kakitangannya bagi tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan, itu satu pemikiran yang bertentangan dengan maksud 'rasmi' dengan fasal 1(a) di dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

"Ini bukan pandangan saya. Ini adalah fakta yang ada dalam perkara 152 Perlembagaan. Sekalipun anda tidak bersetuju, kita tidak boleh mengubah fakta tersebut," katanya pada Jumaat.

anuar 2

TANGKAP layar antara komen yang ditinggalkan pada status Dr. Anuar di Facebook.

Tambah Anuar, PTPTN sepatutnya menjadi contoh dengan meningkatkan kualiti dan standard penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi apabila berurusan dengan para pelanggan.

"Tidak sepatutnya sebuah agensi kerajaan membuat keputusan menggunakan bahasa lain untuk urusan rasmi kerajaan.

"Kononnya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan. Kononnya untuk memudahkan komunikasi dan meningkatkan sistem penyampaian agensi.

"Semua urusan termasuklah perkhidmatan di kaunter mestilah menggunakan Bahasa Melayu pada setiap warganegara Malaysia. Ini dasar," tegasnya.

Netizen lain turut meninggalkan komen menyokong pendapat Anuar, antaranya Badrul Hisham Ithnin yang berpendapat, PTPTN menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.

"Inisiatif ini mencanggahi Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan dari segi budaya asal kita.

"Saya juga percaya langkah ini tidak membantu membentuk konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan kerajaan baru-baru ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram