UKM anjur pertandingan menulis esei peranan ekonomi biru


  • Primer
  • Rabu, 27 Okt 2021

MUHAMMAD HAKIMI berkata, pertandingan esei dwibahasa itu menyediakan platform kepada para pelajar untuk menyampaikan idea berkualiti.

PELAJAR institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan prauniversiti di seluruh negara dipelawa menyertai satu pertandingan esei bertajuk 'Kebangkitan Pasca Pandemik: Peranan Ekonomi Biru dalam Menuju Prospek Perniagaan Mampan (The Role of The Blue Economy Towards Sustainable Business Prospect)'.

Pertandingan anjuran Kelab Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori pelajar IPTA dan prauniversiti.

Menerusi pertandingan itu, para peserta berpeluang memenangi hadiah berupa wang tunai berjumlah hampir RM3,000 yang bakal menanti pemenang tempat pertama hingga keempat bagi kedua-dua kategori berkenaan. Hadiah saguhati turut disediakan.

Timbalan Dekan, Jaringan dan Alumni fakulti berkenaan, Prof Madya Dr Muhammad Hakimi Shafiai berkata, program bercirikan pertandingan melalui penulisan memberi ruang kepada peserta untuk menghasilkan idea melalui pengumpulan data dan menganalisis maklumat.

“Menerusi esei itu nanti, peserta akan menjawab permasalahan tema program ini iaitu Kebangkitan Pasca Pandemik: Peranan Ekonomi Biru Dalam Menuju Prospek Perniagaan Mampan.

"Ekonomi biru ialah ekonomi berkaitan maritim yang menitikberatkan faktor alam sekitar, hidupan maritim dan persekitaran dalam menuju perniagaan mampan terutama dalam memulihkan ekonomi selepas kebangkitan pasca pandemik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, esei tersebut akan dinilai oleh ahli akademik dan pakar ekonomi dengan aspek yang akan dinilai ialah kandungan, idea dan olahan, kreativiti dan keunikan serta bahasa.

Pada masa sama, pihak penganjur memaklumkan pertandingan itu bertujuan melahirkan belia yang mampu menilai dan menganalisis isu ekonomi semasa dalam bentuk penulisan berformat.

Di samping itu juga, pertandingan esei dwibahasa itu juga menyediakan platform kepada para pelajar untuk menyampaikan idea-idea yang berkualiti.

"Pertandingan esei ini juga antara lain dapat mengasah tahap kemahiran pemikiran kritis ahli ekonomi muda terhadap isu-isu ekonomi," katanya.

Para peserta dikehendaki mendaftar secara dalam talian melalui pautan https://forms.gle/7foCL2iCRJnvtutp7 antara 1 November hingga 14 November ini.

Yuran penyertaan ialah RM10 bagi pelajar UKM dan prauniversiti manakala pelajar IPTA yang lain RM15.

Tarikh penting bagi peserta ialah antara 23 November hingga 6 Disember untuk menghantar esei masing-masing.

Peserta disyaratkan mengarang antara 500 hingga 1,500 patah perkataan. Esei yang siap hendaklah dihantar ke pautan https://forms.gle/QwWea8dJqqbxMRoc8 sebelum jam 5 petang pada 6 Disember.

Peserta juga diminta memperincikan syarat-syarat lain di media sosial iaitu Facebook dan Instagram di laman Economics Essay Competition.

Senarai pemenang akan dimaklumkan di laman sosial pada akhir Disember disusuli dengan majlis penyampian hadiah kepada pemenang.

Mereka yang inginkan maklumat lanjut, boleh menghubungi jawatankuasa pertandingan iaitu Ketua Program, Nurul Dayana Khairil Azrul di talian 013-8504648 atau jawatankuasa Pasca Pendaftaran Fadli Mashuri, 017-6834236 dan Nur Zakiah Zolkefli, 011-33857159. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram