SPA batal keputusan peperiksaan calon salah laku integriti


  • Primer
  • Khamis, 28 Okt 2021

CALON yang terlibat turut disenarai hitam oleh SPA. — Gambar hiasan

SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) membatalkan keputusan Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) serta menyenarai hitam calon yang didapati terlibat dalam salah laku integriti semasa menduduki peperiksaan itu.

Menurut SPA menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis memaklumkan hasil pemantauan dan siasatan pihaknya mendapati ada calon yang tidak bertanggungjawab semasa menduduki PSEE.

"SPA mengenal pasti calon yang melakukan salah laku integriti dengan mewujudkan kumpulan tertentu dalam aplikasi WhatsApp dan Telegram, bertujuan menawarkan perkhidmatan berbayar penyediaan jawapan atau bersubahat melakukan aktiviti peniruan dan perkongsian jawapan bagi tujuan lulus PSSE," ujar kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan itu, SPA memandang serius perkara tersebut dan menegaskan bahawa permohonan calon terlibat bagi sebarang jawatan lain tidak akan dipertimbang.

Pencarian di ruang Telegram mendapati wujud beberapa kumpulan antaranya 'Bank Soalan PSEE' dan 'PSEE Daya Menyelesaikan Masalah' yang memuat naik set soalan, jawapan beserta cara kerja bagi soalan penyelesaian masalah.

Turut dimuatkan peringatan kepada anggota kumpulan bahawa mereka dilarang menghantar sebarang soalan dalam kumpulan terbabit ketika peperiksaan berlangsung.

PSEE merupakan ujian aptitud yang dijalankan secara dalam talian sebagai saringan awal kepada pemohon pekerjaan merangkumi penilaian pengetahuan am, keupayaan dalam penyelesaian masalah dan ujian kefahaman Bahasa Inggeris. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPA, PSEE, integriti, senarai hitam, calon