MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membebaskan anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam daripada pertuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel dua tahun lalu.
Mahkamah membenarkan rayuan tertuduh untuk membatalkan keputusan bersalah dan hukuman penjara lapan bulan.
Peguam tertuduh, Nasar Khan mengesahkan bahawa hakim, Collin Lawrence Sequerah membenarkan rayuan yang dikemukakan anak guamnya itu.
Keputusan mahkamah itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang menyenangkan sebilangan netizen yang mengatakan bahawa 'layanan istimewa' seperti itu hanya diberikan kepada orang kenamaan serta kenalan mereka.
Luah netizen, jika kesalahan itu dilakukan oleh rakyat marhaen, sudah pasti pelaku akan dihukum mengikut undang-undang yang ditetapkan.
"Anak orang ada-ada pula, bapa orang politik senanglah bebas, main call saja orang tertentu, minta tutup kes. Cuba kalau orang miskin, orang bawahan, sorrylah nak lepas, silap-silap duduk dalam penjara atau tali gantung," kata Ramlan Ghouse.
"Caya lah... Hebat bila ada golongan VVIP, anak-anak, sepupu sepapat yang didakwa melibatkan pelbagai kes kesalahan pasti jawapannya seperti yang dijangkakan," kata Azhar Azhar.
"Undang undang hanya untuk rakyat marhaen," ujar Maels Ahmad.
"Tinggallah dalam penjara tu rakyat marhen yg mencuri satu tong milo, sardin, mencuri seringgit dua tabung masjid dan pesalah-pesalah yang tiada kaum kerabat dan sahabat handai dengan pemimpin-pemimpin politik," luah Mohd Jelas.
"Khas untuk keluarga malaysia je.. Yang tahap kayangan.. Kalau rakyat biasa tetap kena juga undang-undang ni," kata Mohd Afiq Aiman.
Bagaimanapun, seorang netizen, Sufian Rofiee berkata, netizen tidak seharusnya melihat perkara itu berdasarkan emosi dan sepatutnya melihat kepada alasan mahkamah untuk membebaskan Ahmad Saiful daripada pertuduhan.
"Ramai yang komen berasaskan emosi dan sentimen kepartian.. lebih lebih lagi bila dah dekat PRN Melaka ni.. semua nak score point. Yang anti PH dah tentulah semua tak happy.
"Tetapi agak menarik untuk melihat sebab pembatalan sabitan bersalah sebelumnya. Mungkin ini boleh menjadikan kita lebih faham tentang kesalahan berkaitan dadah," katanya.
Pada 24 Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati Ahmad Saiful bersalah atas kesalahan menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi pada 5 Januari 2020, dan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan.
Terdahulu, Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat.
"Tindakan mengambil hanya satu ujian air kencing mendedahkan sampel kepada risiko untuk dicemari.
"Mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua sampel air kencing menyebabkan sabitan menjadi cacat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram