TIMBALAN Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang pada Selasa mengesahkan bahawa Malaysia terpilih bagi menjalankan kajian klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 Sinovac keluaran syarikat China dengan sasaran kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Menurutnya kajian yang bakal dimulakan pada hujung Oktober itu membabitkan 10 lokasi kajian yang merangkumi lapan fasiliti di bawah KKM, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Beberapa sesi perbincangan telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin Covid-19 untuk mendapatkan status semasa dan data berkaitan keberkesanan serta keselamatan penggunaan vaksin bagi golongan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.
"Walaupun masih belum menerima data yang diperlukan daripada syarikat-syarikat pengeluar vaksin Covid-19 setakat ini, Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin (JKPCV), KKM sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas populasi tersebut berdasarkan bukti- bukti saintifik melalui kajian klinikal atau Real World Data," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Bagaimanapun, kenyataannya itu mendapat kecaman sebahagian pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang dikatakan sebagai memperjudikan nyawa kanak-kanak negara ini.
Ramai netizen yang menegaskan bahawa mereka tidak sanggup menjadikan anak-anak mereka sebagai 'tikus makmal' untuk kajian tersebut.
Antara komen-komen netizen di Facebook berkenaan isu tersebut.
"Saya bukan antivaksin. Kami as parents (sebagai ibu bapa) awal-awal dah ambik vaksin. Tapi agak-agaklah anak-anak nak jadi ujikaji. Mohon bagi anak-anak cucu menteri dulu ye," luah Amny Rauhah.
"Anak aku bukan bahan ujikaji, kerajaan dah gila dan merapu," kata Sakinah Zainal.
"Walaupun dah cucuk tapi tak setuju la buat pada kanak-kanak... Maknanya betul la cerita yang dengar sebelum ni, kita ni tikus makmal," kata Fairuz Razi pula.
"Bunyi pun kajian klinikal.... Bahasa pasarnya lebih kurang jadi tikus makmal ke macam mana?" soal Abu Abbas.
"Wow.... Sanggup perjudikan nasib anak-anak rakyat sendiri? Kerajaan apa ni?" ujar Norhanim Bt Basiran.
"Nak buat kajian pada anak-anak kita. Kalau apa-apa terjadi sendiri tanggung. Buat kajian pada anak-anak menteri dulu tengok macam mana," kata Aida Batrisya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram