AMALAN memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang haid, bukan isu baharu di negara ini.
Beberapa kali isu ini didedahkan di media sosial hingga menimbulkan perdebatan netizen yang mendakwa amalan memeriksa haid dianggap tidak lagi relevan untuk dipraktikkan pada zaman sekarang.
Sebelum ini, amalan tersebut biasanya dibuat di sekolah khususnya di sekolah berasrama untuk mendapat kepastian jika pelajar yang didapati tidak solat, benar-benar tidak dapat berbuat demikian.
Seorang netizen, Shaharul Bahrin berkata, masalah itu boleh diatasi dengan menggunakan aplikasi period tracker yang berfungsi seperti kalendar untuk merekodkan tempoh menstruasi.
"Isu timbul apabila ada budak tidak mengerjakan solat. Mungkin boleh guna aplikasi period tracker bagi mengelakkan pelajar beri alasan lapuk sebagai tidak mengerjakan ibadah itu.
"(Kalau datang haid), flash (tunjuk) sahaja macam guna MySejahtera," tulisnya di Twitter sebagai reaksi kepada ciapan tular berhubung kejadian periksa haid di sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur.
Pengguna Twitter yang menggunakan nama Ian Babe juga bersetuju agar kaedah sama yang lebih moden itu digunakan.
TANGKAP layar ciapan netizen di Twitter berhubung amalan pemeriksaan haid di sekolah.
Sementara itu, seorang pengguna Twitter, uncle gunpla pula berkata, ibu bapa pelajar yang berdepan situasi sedemikian perlu menyuarakan masalah anak mereka.
"Agak mengejutkan kerana perkara sebegini masih berlaku pada tahun 2021," katanya.
Melati Mohd Ibrahim pula berkata, guru yang tidak bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas dengan dibuang kerja.
"Tindakan tegas wajar dibuat untuk dijadikan teladan kepada guru lain agar perbuatan ini tidak diulangi pada masa depan," tulisnya.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter, Tashny Sukumaran pada Selasa mendakwa, dia diberitahu kejadian berkenaan berlaku di sebuah kolej vokasional di Setapak membabitkan kira-kira 30 remaja perempuan berusia 18 hingga 19 tahun.
Dalam kejadian pada 18 Oktober itu, kumpulan remaja tersebut dikatakan diberikan putik kapas untuk membuktikan bahawa mereka sedang mengalami haid.
Ciapan Tashny mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin yang segera turun padang untuk mendapatkan maklumat berhubung dakwaan tersebut.
Beliau menerusi hantaran di Facebook pada malam Selasa berkata, pihaknya akan memperhalusi perkara itu selepas mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram