Usul parkir bertingkat elak kejadian kereta disagat lori di Putrajaya


TANGKAP layar rakaman televisyen litar tertutup yang memaparkan lori disyaki melanggar lebih 10 kereta di Kompleks E, Putrajaya dalam kejadian pada Khamis. — Facebook

PADA Khamis, tular satu video di laman sosial memaparkan sebuah lori melanggar lebih 10 buah kereta dalam kejadian di Kompleks E, Putrajaya.

Pelanggaran itu menyebabkan pelbagai kerosakan kepada kenderaan terlibat termasuk kesan calar dan kerosakan cermin sisi.

Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Parcel E memaklumkan, lokasi kejadian telah digazetkan sebagai kawasan yang tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan.

Hal itu sekali gus menyebabkan mangsa terlibat tidak boleh membuat sebarang tuntutan ganti rugi memandangkan kawasan atau laluan tersebut telah digazetkan sebagai kawasan yang tidak dibenarkan parkir.

RAKAMAN video insiden berkenaan yang tular di Facebook.

Seorang netizen, Che Hasanudin Puji berkata, kemudahan parkir bertingkat sepatutnya disediakan supaya kejadian sedemikian tidak berlaku lagi pada masa depan.

"Dah boleh usulkan buat parkir bertingkat lepas ni. Macam di Hospital Kuala Lumpur dulu, sebelum ni bersepah kereta parkir.

"Lepas ada parkir bertingkat, macam terurus dah sikit. Kalau (dikenakan) bayaran pun, pelawat atau kakitangan rasanya sanggup bayar daripada perlu fikir mencari parkir," katanya.

Sementara itu, Rahmat Hj Said pula mempersoalkan kemudahan perkhidmatan monorail di Putrajaya yang masih tertangguh sehingga kini.

Ini kerana katanya, kemudahan monorail sepatutnya menjadi kaedah pengangkutan utama di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan yang berkonsepkan Bandar Hijau itu.

"Pelan asal Putrajaya dibangunkan (dengan) tidak membenarkan jumlah kereta yang banyak memasuki bandar ini, tetapi menggunakan perkhidmatan monorail yang menyambungkan semua presint selain kemudahan Park n Ride.

"Tetapi projek tersebut terbengkalai.. di stesen keretapi Putrajaya kelihatan trek untuk laluan monorail telah dibina separuh jalan dan tidak diteruskan, tidak pasti apa sebabnya?," tulisnya.

netz langgar

TANGKAP layar komen netizen terhadap video tular memaparkan lori melanggar lebih 10 kereta di Kompleks E, Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Azhari Ishak berkata, mangsa terlibat perlu berlapang dada dan reda kerana situasi tersebut jelas menunjukkan bahawa nasib tidak menyebelahi diri mereka untuk kali ini.

"Yang jenis parking hari-hari di situ, korang dah untung berapa ratus ringgit (sebabnya) korang dah patut kena saman (parking tempat tidak dibenarkan) sebelum ini," katanya.

Komennya dipersetujui Zoul Fa yang menyifatkan mangsa terlibat masih bernasib baik kerana baru sekali terkena.

"Sepatutnya, hari-hari korang kena bayar saman.. atau hari-hari kena gesel.. atau hari-hari kena bayar Grab (e-hailing)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram