Ikut rapat belakang lori, penunggang basikal tempah maut


  • Tular
  • Khamis, 21 Okt 2021

TANGKAP layar penunggang basikal yang mengikut rapat sebuah lori tular di laman sosial.

TINDAKAN seorang penunggang basikal yang melakukan aksi bahaya ketika menunggang basikal, tidak ubah seperti sikap segelintir penunggang basikal lajak.

Menerusi video berdurasi 28 saat yang tular di laman sosial itu, penunggang terbabit sengaja menempah maut apabila mengikut rapat di belakang sebuah lori treler.

Lokasi kejadian dipercayai di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Pahang manakala masa dan tarikh kejadian tidak dapat dipastikan.

Terdahulu, kejadian sama berlaku pada 17 September lalu apabila seorang penunggang basikal bertindak menunggang mengikut rapat sebuah lori treler di Jalan Kuantan-Gambang, Pahang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohammed Rizal Kamarudin berkata, polis sedang mengesan penunggang basikal terbabit dan meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Orang ramai kini diberi kelonggaran untuk bersukan dan beriadah termasuk melakukan aktiviti berbasikal, malangnya ada pihak yang salah guna kelonggaran itu dengan melanggar peraturan jalan raya seperti video yang tular sebelum ini.

“Kesalahan itu boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu denda RM300 bagi kesalahan pertama dan RM1,000 untuk kesalahan berulang atau boleh dipenjara,” katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

penunggang basikal, lori, polis