'Boleh pula tangguh ke Singapura, PRN lagi penting daripada anak?'


MAHKAMAH Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsa beliau bagi melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang bakal bersalin di Singapura. — Bernama

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat mengumumkan untuk menangguhkan perjalanan ke Singapura untuk melawat anaknya bersalin bagi membantu jentera parti Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.

Keputusan itu dibuat, kata Najib, memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakangnya.

“Saya telah diamanahkan untuk memastikan UMNO bertindak dengan teratur dan sewajarnya pada kempen berkenaan sewaktu ketiadaan Ahmad Zahid,” kata Najib dalam notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan pada Khamis.

Sehubungan itu, Najib memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini.

Tindakan Najib itu bagaimanapun mendapat kecaman sebilangan netizen yang menganggap perkara itu sebagai mempermainkan keputusan mahkamah.

Menurut netizen, Najib sepatutnya tidak perlu sibuk menguruskan jentera Umno bagi PRN Melaka memandangkan parti itu masih mempunyai orang nombor dua iaitu Datuk Seri Haji Mohamad Hasan yang boleh menggalas tanggungjawab tersebut.

komen najib tangguh

Antara komen netizen di media sosial.

"Ini memang lawak betul. Mahkamah ini dah jadi macam sarkis. Apa je diminta VVIP ok je! What a joke!!" kata pengguna Facebook, Joe Peter.

"Hari tu mintak (pergi Singapura) kata anak nak bersalin, takkan bersalin pun boleh tangguh. Pelik bin ajaib," ujar Junaiddie Jusoh.

"Kesetiaannya kepada parti melebihi kepentingan peribadi, pemimpin inilah yang mesti kita angkat semula," perli Aidy Matamin.

"Kenapa dia yang pikul tanggungjawab, timbalan presiden kan ada. Mana Tok Mat nak taruk," soal Mohd Sharif Khasiman.

"Zahid tak ada, kan Tok Mat Hassan ada. Kenapa yang ada kes dan kes tengah berjalan heboh nak uruskan PRN... Bukan ke PRK banyak yang Tok Mat Hassan uruskan... Gila kuasa semuanya," kata Mohdfaisal Shujauddin.

"Hari tu beria-ia buat permohonan minta dipulangkan pasport konon penting nak meneman anak yang akan beranak di luar negara. Alih-alih sekarang buat permohonan untuk minta ubah tarikh untuk pasport dipulangkan pada ko pasal konon nak berkempen dalam PRN Melaka. Habis tu teman anak tak pentingkah? Kenapa main main ni?" ujar Dzul Abdullah.

Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsa beliau bagi melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang kini menetap di Singapura yang bakal bersalin anak kedua.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan pelepasan pasport berkenaan bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

najib, pasport, mahkamah, singapura,