'Pantau, kawal laluan masuk kawasan mendaki'


SEGELINTIR pendaki meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menghalang laluan di kawasan perumahan, tapak projek dan tapak perindustrian.— Facebook

MENDAKI gunung merupakan antara hobi dan aktiviti sihat pilihan ramai terutama bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Meskipun begitu, sikap pendaki yang tidak peka terhadap kawasan sekitar lokasi pendakian menyebabkan banyak rungutan disuarakan warganet.

Lebih-lebih lagi ada segeintir daripada mereka yang meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menghalang laluan di kawasan perumahan, tapak projek dan tapak perindustrian.

Satu hantaran pemilik akaun laman sosial Facebook Chua Engkui di grup Shah Alam Community Forest (SACF) berkongsi tentang perkara itu yang berlaku di jalan masuk Bukit Sapu Tangan, Setia Alam, Selangor.



CHUA menyifatkan sikap pendaki yang tidak peka menyukarkan pemandu lori dari tapak projek untuk melakukan kerja mereka. — Facebook

Chua berkongsi keluhan tentang sikap pendaki yang mengambil jalan mudah dengan meletakkan kereta laluan keluar masuk tapak projek berdekatan laluan masuk (entrance) A bukit berkenaan.

Tulisnya, tindakan tersebut menyukarkan lori dari tapak projek untuk keluar masuk kawasan tersebut sehingga ada yang terpaksa menunggu pendaki pulang terlebih dulu bagi memudahkan perjalanan kenderaan berat itu.

"Betul-betul tidak ada akal, lori mahu masuk perlu tunggu pendaki habis mendaki.

"Batu itu diletakkan di sana bererti orang ramai tidak boleh meletakkan kenderaan di sana dan bukan sebaliknya.

"Jika laluan masuk A ditutup sepenuhnya, pendaki jangan pula ada yang merintih," kongsinya.

Ramai netizen yang menyokong pandangan Chua dan beranggapan golongan pendaki ini sepatutnya meletakkan kenderaan mereka di lokasi yang sepatutnya seperti lot premis perniagaan berdekatan.



NETIZEN menyokong pandangan Chua tentang sikap tidak peka pendaki. — Facebook

Perkara itu dikongsi dalam komen oleh pemilik akaun Lum Chee Wei yang menyatakan bahawa mereka yang meletakkan kenderaan di kawasan itu tidak wajar mengendahkan arahan zon tunda dan sitaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada kain rentang yang digantung berdekatan tapak projek.

"Mereka ini tidak pernah belajar, sudah ada kain rentang tapi masih berdegil.

"Jika mahu mendaki, letak kenderaan di lot kedai yang tidak jauh dari lokasi mendaki, jika tidak mahu lebih baik duduk dan berlegar di sekitar kawasan rumah sahaja," katanya.

Terdapat juga pengguna Facebook, Muhammad Rahimie, yang mencadangkan supaya golongan yang suka mendaki dan penduduk di Setia Alam menubuhkan pasukan sukarelawan untuk menjaga laluan masuk bukit tersebut.

Kongsinya, ia merupakan cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Berkongsi di meda sosial tidak menambah baik keadaan kerana pendaki dengan sikap sebegini akan berulang kali melakukan perkara sama.

"Pasukan sukarelawan ini boleh adakan kerjasama dengan MBSA dan komuniti penduduk berdekatan. Mereka yang tidak suka dengan keadaan ini boleh turut serta," cadangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram