KHABAR angin pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat mencetuskan polemik politik di seluruh negara.
Rata-rata mereka gusar jika benar bagai dikata, pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan mengulang kembali kesilapan lalu seperti mana yang berlaku di Sabah.
Apa yang lebih merisaukan adalah Sarawak kini masih memegang takhta sebagai negeri yang memegang rekod tertinggi kes positif baharu Covid-19.
Tambahan pula, Melaka juga akan melaksanakan PRN pada 20 November 2021 meskipun ramai yang tidak setuju pemilihan kerajaan negeri baharu itu diadakan.
Ramai pengguna di media sosial mencadangkan supaya lebih baik adakan sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) daripada membazir masa adakan PRN di Sarawak.
RAMAI warganet tidak bersetuju jika PRN Sarawak diadakan. — Facebook
Pemilik akaun media sosial Facebook, Ahmed Syaqir menyuarakan pandangan sama dengan menyatakan bahawa PRU akan lebih menjimatkan kos dan meleraikan kekusutan majoriti kerusi dewan.
"Semakin tidak stabil satu Malaysia ini. Bubar sahaja Parlimen supaya semua negeri ambil langkah sama bubar DUN.
"Pilihanraya serentak menjimatkan kos dan meleraikan kekusutan majoriti kerusi dewan," tulisnya.
Seorang lagi pemilik akaun, Parandeep Singh pula meninggalkan komen memohon kepada Yang Di Pertuan Agong (YDPA), supaya tidak menamatkan darurat di Sarawak sehingga tahun hadapan.
"Kepada YDPA, tolong jangan tamatkan darurat awal di Sarawak.
"Seeloknya tunggulah sehingga awal tahun depan dan bubar parlimen terus. Pilihanraya boleh diadakan sekali gus. Sekarang bukan masa sesuai untuk pilihanraya di Sarawak," kongsinya.
Sementara itu, pemilik akaun, Rizal Zal juga tidak bersetuju jika Sarawak juga ingin melaksanakan PRN dan mencadangkan supaya mana-mana wakil rakyat atau Ahli DUN (ADUN) yang hilang kepercayaan kepada kerajaan dilucutkan jawatan.
"Kerajaan tolong jangan menyusahkan rakyat lagi. Kenapa perlu pilihan raya?
"Masalah sekarang adalah wakil rakyat dan ADUN. Jangan libatkan rakyat untuk keluar mengundi.
"Mana-mana wakil rakyat dan ADUN yang melompat parti atau hilang kepercayaan pada kerajaan automatik hilang jawatan, itu lebih mudah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram