Sarawak bakal bubar DUN esok?


  • Politik
  • Khamis, 21 Okt 2021

ABANG Johari dijangka akan membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang media khas di Kuching. — The Star

JUMAAT bakal menjadi hari yang mendebarkan buat rakyat Sarawak apabila Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dikatakan bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berdasarkan khabar yang berlegar, Abang Johari dijangka akan membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang media khas di Kuching, Sarawak.

Pengumuman tersebut dikatakan akan dibuat sebelum lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke bumi Kenyalang pada Sabtu, sekali gus melancarkan program Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching.

Ia merupakan sesuatu yang mengejutkan apatah lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru sahaja mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditetapkan pada 20 November 2021.

Terdahulu DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berdasarkan sumber, Abang Johari telah menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan bagi cadangan pembubaran DUN.

Perkara itu diperkuat lagi dengan maklumat sumber rapat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memberitahu, sekretariat pilihan raya gabungan itu telah meminta calon untuk mengemukakan maklumat terkini kepada ibu pejabat parti.

Penganjuran pilihan raya menjadi sesuatu yang membimbangkan ramai pihak susulan situasi pandemik Covid-19 yang masih kekal empat angka ketika ini.

Jika benar DUN dibubarkan di Sarawak, pilihan raya akan menjadi satu perdebatan hebat memandangkan wilayah itu masih berada di kedudukan teratas rekod jangkitan baharu positif Covid-19.

Tambahan pula, rakyat masih baharu menikmati kebebasan, pastinya mereka tidak mahu kembali terkurung jika kes kembali naik mendadak gara-gara pilihan raya sepertimana yang berlaku di Sabah sebelum ini. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram