PRN Melaka: Pertimbang kaedah pos undi — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 20 Okt 2021

KAEDAH undi pos boleh dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan orang ramai ketika pilihan raya. — Bernama
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diminta mempertimbangkan cadangan untuk menggunakan kaedah pos undi kepada mereka yang tidak mahu keluar mengundi sewaktu tempoh pandemik Covid-19.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, SPR perlu meneliti semula Akta Pilihan Raya bagi memperluaskan kaedah berbeza kepada rakyat sewaktu pilihan raya.

"Kalau kita lihat ketika pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu, negara itu menggunakan kaedah undi pos.

"Dari aspek keselamatan tentang undi pos, saya rasa sejak negara merdeka 64 tahun lalu, banyak pilihan raya sudah diadakan dan dalam setiap pilihan raya, undi pos sering dilakukan.

"Mungkin ada satu atau dua kes (kehilangan karung kertas undi) yang disengajakan atau tidak disengajakan, tetapi SPR boleh ubah prosedur operasi standard (SOP) pos undi supaya lebih ketat bagi memastikan keselamatannya terjamin," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang cadangan Bersih 2.0 supaya melanjutkan tempoh penamaan calon untuk beberapa hari bagi membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 semasa tempoh pilihan raya.

Memetik laporan media tempatan, Bersih 2.0 berkata, lima hingga tujuh hari harus diperuntukkan untuk pencalonan, sementara tempoh pengundian dipanjangkan kepada tiga hari, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan.

Tambah Nik Ahmad Kamal ketika disoal tentang saranan kaedah pengundian dalam talian, beliau menegaskan isu keyakinan merupakan faktor utama cara berkenaan tidak 'berkesan'.

"Jika tanya mana-mana parti politik, mereka merasa bimbang tentang kaedah tersebut. Namun sekiranya undian dalam talian ini terbukti sahih dan dilindungi daripada sebarang penipuan atau penggodaman, saya rasa tiada masalah.

"Kaedah itu sudah lama dilakukan dalam pilihan raya peringkat universiti cuma kalau nak melaksanakan, boleh buat secara berperingkat dahulu, buat satu percubaan, mungkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," jelasnya lagi. — Majoriti