SEHARI dua ini kecoh isu berkaitan arak keluaran Malaysia yang menggunakan jenama Timah hingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat terutamanya orang Islam.
Ramai yang mula mempersoalkan tentang nama jenama yang digunakan yang mungkin seakan tidak sensitif dengan Malaysia.
Perkembangan ini juga turut mendapat perhatian bekas Pengarang akhbar arus perdana tempatan, Ku Seman Ku Hussein yang menyifatkan perhatian harus lebih diutamakan kepada kesan buruk arak berbanding jenama.
“Nama apa sekali pun masalah utama arak tidak berubah, membawa kerosakan dan kemusnahan.
“Saya fikir isu bertambahnya lesen menjual arak lebih besar daripada nama arak. Malah isu Malaysia mengeluarkan arak juga sangat kontradik dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Bagaimanapun daripada yang berduyun-duyun berdebat pasal nama arak, seolah-olah tukar nama selesai masalah. Betulkah?,” katanya menerusi laman sosial Facebook.
Ciapan Ku Seman juga turut mendapat reaksi senada daripada pengguna lain yang secara jelas menyatakan setuju dengan apa yang dierkatakan.
Bagi pengguna Facebook bernama Ilmin Abdullah, kesan arak perlu diutamakan kerana ia berisiko cetus masalah lain.
“Arak punca jenayah,” katanya ringkas.
“Saya amat setuju dengan pendapat anda. Masih ingat lagi dalam suatu majlis NGO isu arak dan kesan buruk pada umum disampailan kepada PM masa itu, Dr Mahathir.
“Malangnya, beliau kata ia salah satu sumber pendapatan cukai jabatan kastam dan eksais. Pendek kata perlu ada political will.
“ Arak murah dan mudarat serta samsu haram masih dijual untuk umum. Harga bir naik melambung namun anak-anak muda tetap beli. Kita harus tegas dalam hal ini. Arak, rokok, dadah, vape amat tidak sihat untuk semua,” kata Vesuanathan Suppiah.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Zubaidi Ahmad berkata, daripada sudut perubatan juga sudah membuktikan yang arak boleh memudaratkan kesihatan.
“Ada yang menolak pandangan agama (haram/halal). Tapi dari sudut perubatan, arak memusnahkan tubuh.
“Dulu minum segelas wine dikatakan dapat meningkatkan kesihatan. Kajian terbaru, saintis minta elakkan minum arak sepenuhnya,” katanya. — Majoriti