KECOH di laman sosial sejak Sabtu apabila sebuah pengeluar arak tempatan menggunakan nama Timah sebagai jenama.
Rata-rata netizen terkejut dengan sikap tidak sensitif jenama arak terbabit yang cuba mencetuskan kontroversi menggunakan bahasa Melayu sebagai jenama arak.
Pensyarah Kanan (Hukum Islam Semasa) Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Saadan Man yang kesal dengan situasi itu mendakwa, individu yang terbabit dengan bisnes dan pengeluaran arak telah menggunakan bahasa Inggeris termasuk ketika bermesyuarat.
“Awat (kenapa) tiba-tiba nak guna BM (bahasa Melayu) pula bila nak menjenamakan arak? Tak mahu guna tulisan Jawi sama ke? Suspicious betul.
“Pemilik kilang bukan Melayu, pengeluar bukan Melayu, pengurus, pekerja pun bukan Melayu, gambar Kapten Tristram Speedy di labelnya pun bukan Melayu, dan pasaran pun khabarnya bukan di Malaysia. Jadi apa "kejadahnya" pakai jenama berbahasa Melayu, Timah?
“Guna bahasa lainlah. Nak associate dengan perlombongan timah di Larut pun terjemahlah timah tu dalam Bahasa Inggeris ialah Tin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu pada Sabtu, kerajaan menafikan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama Timah.
Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adalah tidak wajar mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan.
"Perusahaan sebegitu (minuman keras) memang wujud dalam negara kita, tetapi bukan kerajaan yang keluarkan minuman itu.
"Bukan usaha kerajaan, tetapi inisiatif pihak lain, tiada pun campur tangan kerajaan dalam perkara ini," katanya.
Antara komen-komen netizen di Facebook berkaitan arak jenama Timah.
Mengulas lanjut, Saadan berkata, kerajaan sepatutnya mengawal penggunaan jenama bahan haram dalam bahasa Melayu.
Katanya, ia sama seperti isu burger P Ramly (Pork Ramly) dan restoran Nuri yang tular antara empat dan lima tahun lepas.
Selain itu, katanya, penggunaan jenama itu dalam bahasa Melayu juga menyentuh sensitiviti Melayu Muslim, selain mengelirukan pengguna Muslim yang kurang peka.
Malah, katanya, ia juga sesuatu yang perlu dijaga oleh kerajaan majoriti Melayu Islam.
“Timah juga nama singkatan Fatimah yang digunakan secara berleluasa dalam masyarakat Melayu. Ramai Makcik Timah di Malaysia ni.
“Jika suatu hari nanti pengeluar mohon lesen untuk pasaran lokal dan nama ini dikekalkan, tidakkah ia jelas mengelirukan pengguna Muslim? Benda ini common sense, tak perlu taakulan mendalam pun.
“Diharapkan pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu ini. Jika dibiarkan sahaja, ia adalah boleh dianggap satu kegagalan yang memalukan. Arak jenama Melayu.Tidakkah ia memalukan?” soalnya. — Majoriti