SEJAK Ahad, tular di media sosial video seorang ibu tunggal kepada sembilan orang anak meraung setelah dijatuhi hukuman mati akibat mengedar dadah.
Menurut laporan media, wanita itu dijatuhi hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau, Sabah pada Jumaat selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah tiga tahun lalu.
Berita itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak bersetuju dengan undang-undang yang dikatakan tidak adil kepada orang miskin.
Beliau turut menggesa supaya hukuman mati dimansuhkan.
"Ibu tunggal. Anak ada 9. Ditangkap kerana edar dadah 3 tahun lepas. Dijatuhi hukuman mati mandatori.
"Ini bukan sistem yang saksama. Yang dihukum, rata-ratanya susah, miskin & melarat. Berapa ramai lagi yang akan dihukum sebegini? Abolish death penalty," katanya dalam satu hantaran Twitter pada Ahad.
Kenyataan Syed Saddiq itu bagaimanapun mendapat kecaman daripada sebahagian pengguna Twitter yang tidak bersetuju dengannya.
Menurut netizen, mengedar dadah adalah salah satu jenayah yang amat berat kerana menjadi punca kerosakan masyarakat, justeru hukuman mati adalah wajar dikenakan kepada pengedar dadah.
Antara komen balasan netizen terhadap kenyataan Syed Saddiq.
"Sakit untuk lihat juga bila tengok orang mati sebab dadah. Mak ayah dibunuh, keluarga hancur sebab dadah. Kalau nak cari populariti, jangan gadai masa depan, YB. Makin lama makin mengarut," kata @Superb83764880.
"Salah tetap salah. Takkan sebab miskin, depa boleh langgar segala undang-undang? "eh tak apa, dia miskin". Even dekat akhirat pun, semua akan dihitung. Ada anak sembilan ke, 10 ke. Haram tetap haram. Sama ler. Benda salah tetap salah. Melainkan ada bukti yang menunjukkan dia tak bersalah," kata @nasba_.
"Niat tak menghalalkan cara. Kalau mansuhkan death penalty boleh bayangkan tak apa yang jadi? Kes dadah berleluasa, pembunuhan tak dituntut bela. Jangan nk mansuhkan hukuman mati atas dasar kasihan semata-mata, kena tengok impak lebih besar kepada orang awam. Just my two cents la," kata @HaraJemmi.
"Senang-senang saja nak abolish death penalty, then what? Bila abolish death penalty untuk edar dadah, semua pengedar-pengedar dari negara jiran dan tempatan akan sambut raya setiap hari, berapa ramai yang akan jadi hamba dadah nanti?" kata @TJubei. — Majoriti