'Kemasukan pelancong asing tanpa vaksin, layanan dua darjat ke?'


SELAIN warganegara, pemastautin tetap, ekspatariat atau kor diplomatik dan mana-mana orang asing lain yang dibenarkan Ketua Pengarah Imigresen dibolehkan memasuki Malaysia dari luar negara. — The Star

GOLONGAN netizen di Malaysia sememangnya terkenal dengan strategi mereka untuk melontarkan pendapat serta idea masing-masing di laman sosial.

Sama ada memuji atau mengkritik satu-satu keputusan atau pengumuman kerajaan, pendapat yang diutarakan sebahagian mereka pasti mendapat perhatian jika kena caranya.

Terbaharu, netizen dilihat secara halus cuba meminta kerajaan untuk kaji semula kemasukan pelancong asing ke negara ini yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi kerana dikhuatiri akan membawa jangkitan.

Pengguna Facebook, Mazin Lorsa mempersoalkan kenapa kemasukan ke negara ini tidak diberikan kepada pengembara lengkap dua dos vaksinasi sahaja seperti prosedur operasi standard (SOP) umum yang diguna pakai ketika ini.

Dia turut mempersoalkan sama ada SOP tersebut adalah satu bentuk layanan dua darjat.

"Kenapa pelancong tak divaksin boleh memasuki Malaysia? Mulianya pelancong asing berbanding rakyat sendiri," katanya.

"Agak-agak pelancong yang tak vaksin ni kena saman tak kalau masuk kedai makan (dine-in), rentas negeri dan lain-lain seperti yang dikenakan kepada rakyat sendiri," kata seorang lagi pengguna Facebook, Che Mat.

netzf 1

TANGKAP layar komen netizen berhubung syarat kemasukan pengembara ke Malaysia.

Seorang lagi netizen, Nurin Jafri berkata, kalau syarat itu dikenakan kepada bukan warganegara, ia dianggap tidak adil kepada rakyat di negara ini.

"Syarat tu nampak macam umum, tidak pasti sama ada pengembara dari luar negara tu merujuk kepada warganegara yang pulang ke Malaysia atau sebaliknya," tulisnya.

Seorang lagi pengguna dikenali Hidup Insan pula meminta warganet berhati-hati jika berada di tempat awam kerana dikhuatiri bersama pengembara tidak divaksin.

"Hati-hati semua, kalau jumpa pelancong asing jangan dekat. Mungkin ada yang tidak vaksin," ujarnya sambil memuat naik semula poster pengumuman pengurangan tempoh kuarantin bagi pengembara oleh Perdana Menteri.

netz ss2

TANGKAP layar komen netizen berhubung syarat kemasukan pengembara ke Malaysia.



Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan, tiga kategori pengembara dari luar negara dibenarkan pengurangan tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari bermula Isnin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang terbabit adalah mana-mana warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatariat atau kor diplomatik atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia dari luar negara.

Katanya, pengembara dari luar negara yang telah lengkap vaksinasi akan menjalani tempoh kuarantin yang dipendekkan kepada tujuh hari.

Bagi yang tidak divaksin atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19 pula, mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari. — Majoriti