'Kata dulang paku serpih, kata Selangor tapi Johor yang lebih'


KEADAAN sampah-sarap yang bertaburan di Laman Mahkota, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor yang dirakam pada Ahad. — Facebook

PERALIHAN fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyaksikan semua negeri di Malaysia kini di Fasa 3 dan Fasa 4, sekali gus membolehkan orang ramai menjalankan pelbagai aktiviti termasuk riadah serta pelancongan.

Lokasi tarikan pelancong yang sebelum ini sunyi kembali meriah dengan kehadiran pengunjung. Yang jadi tak sedapnya apabila kunjungan pelancong ini menjadikan lokasi tumpuan kembali kotor dengan keadaan sampah berteraburan.

Berkongsi perkara itu di Facebook, Rosli Abdul Jalil berkata, Laman Mahkota, Istana Bukit Serene yang bertempat di gerbang pintu kediaman rasmi Sultan Johor juga dipenuhi taburan sampah hingga mencacatkan pemandangan.

Bagaimanapun apa yang menarik perhatian adalah status itu seolah-olah memerli perbuatan orang Johor yang dikatakan sebelum ini mengejek sikap pengotor orang Selangor.

"Apabila Negeri Darul Ehsan (Selangor) beralih ke Fasa 2 PPN pada awal September, semua rakyatnya keluar berpusu-pusu ke pusat peranginan seperti air terjun dan sebagainya.

"Kita dikejutkan dengan longgokan sampah di salah sebuah pusat perkelahan air terjun di sana. Semua menuding jari termasuk kita juga rakyat Darul Takzim (Johor) dengan mengatakan mereka di sana umpama rakyat yang tidak bertanggungjawab, mentaliti dunia ketiga dan sebagai," tulis Rosli.

Tambahnya, dia berasa malu kerana keadaan sama berlaku di tempat sendiri seperti perumpamaan 'mengata dulang paku serpih, mengata orang diri sendiri yang lebih'.

"Apabila Darul Takzim (Johor) beralih fasa dan taman serta pusat peranginan mula dibuka, ini pula jadinya...," katanya sambil menyertakan gambar Laman Mahkota yang dibuka kepada orang ramai bermula Ahad.

netz sampah

TANGKAP layar komen-komen netizen terhadap status Facebook Rosli.

Sementara itu, di ruangan komen, seorang pengguna Facebook, Ahmad Zaki Mohdnor berkata, keadaan sampah-sarap berteraburan itu dipercayai 'diselongkar' monyet dan burung gagak.

"Silap dewan bandar raya menyediakan tong sampah yang boleh dikisar oleh burung gagak dan monyet.

"Sepatutnya difikirkan cara agar tong sampah tidak boleh dibuka oleh binatang. Tetapi, kadang-kadang ada juga manusia buang merata-rata sama macam monyet," tulisnya.

Komen sama turut ditinggalkan Shah Rin yang menulis, "sampah terkeluar daripada tong macam kerja burung gagak je.. sebab saya pernah nampak burung suka makan sampah daripada tong."

"Masuk akal juga..semua sampah yang terkeluar adalah bungkusan makanan. Anjing liar pun boleh jadi juga," kata Khairul Azuan menyokong dakwaan Shah Rin. — Majoriti