'Buka sempadan? Yang jadi mangsa rakyat, pak menteri duduk kerusi empuk'


KERAJAAN sedang mempertimbangkan pembukaan sempadan dengan membenarkan pelawat asing dari negara tertentu.

KERAJAAN pada Jumaat mengumumkan sedang mempertimbangkan pembukaan sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara tertentu yang lengkap menerima suntikan vaksinasi untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib susulan perkembangan positif indikator Covid-19.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan perkara itu akan dijalankan melalui program pengiktirafan bersama sijil vaksin seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.

“MPN dimaklumkan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara-negara tertentu yang telah lengkap divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib melalui program mutual recognition of vaccine certificate.

“Langkah ini telah dilaksanakan di beberapa negara lain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPN keempat pada Jumaat.

Pengumuman itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif dari sejumlah netizen yang menegaskan masih terlalu awal untuk negara membuka sempadan kepada orang luar, lebih-lebih dengan pemansuhan atau pengurangan tempoh kuarantin yang dicadangkan.

Ramai yang bimbang akan risiko penularan Covid-19 menaik semula memandangkan pelbagai varian dan mahu kerajaan mengkaji semula serta menangguhkan dahulu pelan tersebut.

Antara komen netizen di media sosial.

"Yang balik dari luar negara kena kuarantin la patutnya, rakyat baru nak merasa bebas... Nanti buka sempadan dah bercampur dengan orang luar jangkitan pun naik semula.." kata pengguna Facebook, Makcik Kiah.

"Sabar dulu... Banyak varian baru yang kita Malaysia tiada kepakaran atau maklumat pun SOP untuk tanganinya... Kekalkan kuarantin tu dulu... Agar dapat kesan dengan segara.... Memang ekonomi penting tetapi kesan jika berlaku outbreak pun penting... Mampukah ekonomi Malaysia bertahan kalau satu tahun lagi macam diperlukan..." luah Mohd Adam Arif pula.

"Bukalah sempadan, esok bila kes mendadak naik, tuding jari dekat orang lain," kata Ramli Nor.

"Janganlah lagi bawa masuk pelancong tanpa dikuarantin dulu, kesian rakyat Malaysia baru nak rasa suasana yang nyaman," ujar Rosnah Rafar.

"Jangan kira ekonomi sahaja, ambil ikhtibar yang lepas... Masuk tanpa kuarantin confirm kes akan naik walaupun dah divaksin. Berwaspada buat keputusan... Yang jadi mangsa rakyat. Pak menteri tiada kesan sebab duduk di kerusi empuk dah," kata Ed Rancho pula. — Majoriti