'Pengusaha bas, jangan fikir untung saja, tolonglah jaga SOP'


SEORANG konduktor bas sedang melakukan kerja-kerja sanitasi di dalam bas sebagai persediaan untuk perjalanan rentas negeri.

GARA-GARA tiket bas ekspres bagi perjalanan ke negeri Pantai Timur laris terjual seperti pisang goreng panas, pengusaha bas diminta memastikan aspek pencegahan penularan jangkitan Covid-19 diberi keutamaan supaya keselamatan penumpang terjamin.

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Don Dkalbu berkata, selain penyelenggaran bas, keadaan yang selamat daripada Covid-19 perlu dititikberatkan oleh operator bas ekspres.

"Pengusaha bas harap dan pastikan keselamatan segalanya. Keadaan yang selamat daripada Covid-19 dan penyelenggaran bas.

"Jangan hanya utamakan keuntungan semata-mata," tulisnya sebagai reaksi kepada laporan berita berhubung penjualan tiket bas ke Kelantan dan Terengganu yang mendapat permintaan luar jangka.

Seorang lagi pengguna Facebook, Amir Zizan mengingatkan orang ramai yang pulang supaya tidak alpa dan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Selamat pulang ke kampung anak-anak perantau. Gunakan peluang ini untuk jumpa keluarga tersayang.

"Anda langgar SOP, anda sengsara," tulisnya.

netz2

TANGKAP layar komen netizen agar SOP rentas negeri dipatuhi.

Berkongsi pendapat sama ialah Jas Mike yang menyokong kebenaran aktiviti rentas negeri yang diberikan oleh kerajaan pada Isnin.

"Sokong penuh tapi jaga-jaga dan ikut SOP," tulisnya.

Sementara itu, Repidah Hasim turut memberi bayangan supaya orang sentiasa berjaga-jaga dalam keadaan kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi.

"Dalam nampak selamat (rentas negeri) tetapi tidak selamat (virus ada di mana-mana)," katanya. — Majoriti