'Jangan biarkan pelajar kita lapar, wujudkan Program Sarapan Pagi'


PROGRAM Sarapan Pagi dapat memberi manfaat kepada 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara, kata Maszlee. — Bernama

BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Isnin menggesa kerajaan supaya meneruskan Program Sarapan Pagi yang pernah dilaksanakan olehnya ketika menjawat jawatan tersebut.

Beliau ketika di Parlimen pada Isnin membangkitkan pelaksanaan program tersebut ketika mencelah sewaktu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Jelas Maszlee, program tersebut dapat memberi manfaat kepada 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara.

Maszlee dalam satu hantaran Twitter pada Isnin berkata beliau akan terus membawa cadangan PSP kepada semua murid-murid sekolah rendah tanpa diskriminasi.

"Ini juga yang berlaku di negara-negara maju, dan ini jugalah yang dicadangkan oleh Unicef dan badan-badan dunia yang lain," katanya.

Cadangan bekas Menteri Pendidikan itu mendapat respon positif dalam kalangan pengguna Twitter yang bersetuju program seumpamanya dapat membantu pelajar-pelajar sekolah dari pelbagai sudut.

Antara pendapat yang diberikan netizen berhubung Program Sarapan Pagi.

"Walaupun isu berkenaan sarapan pagi percuma tapi ia sangat sangat berfaedah kepada anak-anak. Sarapan adalah satu hidangan yang amat penting kepada mental dan tenaga mereka," kata @aaminmsrn.

"Sarapan percuma. Saya setuju jika ia dilaksanakan untuk semua pelajar sekolah. Saya juga fikir dah sampai masa yuran makan di kantin masuk sekali dalam yuran persekolahan. Dengan cara itu, pelajar yg tak mampu akan dibiayai oleh kerajaan sepenuhnya. Jangan biarkan pelajar kita lapar," ujar @IlliFadli.

"Susah sangatkah untuk bersetuju dengan usul ini? Usul beliau baik bagi membantu pelajar mengambil sarapan sebelum masuk ke kelas kerana sebilangan ibu bapa tidak mampu atau terlalu sibuk untuk memasak," kata @theopeninglight.

"Satu sarapan yang sama untuk semua pelajar setiap hari. Mampu merapatkan jurang antara kaya & miskin masa depan kelak," kata @ahnafazif pula.

Sementara itu, @drmusanordin pula berpendapat, program berkenaan dapat membantu mengelakkan pelajar daripada kelaparan, meningkatkan kesihatan, serta dapat menyokong pembelajaran, kehadiran dan tingkah laku pelajar.

Selain itu, katanya, ia juga dapat meningkatkan tumbesaran, selain mengurangkan masalah obesiti dan mengelakkan stigma kemiskinan dalam kalangan pelajar sekolah.

Maszlee ketika menjadi Menteri Pendidikan pernah mengumumkan bahawa kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020. — Majoriti