KEBENARAN merentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad merupakan berita gembira yang dinanti-nantikan oleh semua rakyat Malaysia.
Kebenaran itu akhirnya diberikan setelah negara mencapai kadar vaksinasi melepasi 90 peratus pada Ahad.
KEBENARAN merentas negeri diumumkan Ismail pada Ahad.— Majoriti
Dalam keterujaan ramai yang lengkap dua dos merancang untuk pulang ke kampung mahupun melancong, ada yang masih tertanya-tanya akan nasib mereka terutama bagi mereka yang belum lengkap divaksinasi.
Ada juga yang menyatakan persoalan tentang kebenaran itu untuk Sabah dan Sarawak kerana segala keputusan bergantung kepada kerajaan negeri tersebut.
Menerusi komen di hantaran laman sosial Facebook Ismail Sabri berhubung pengumuman merentas negeri, salah seorang pemilik akaun Zee Zarith bertanya tentang perkara berkenaan.
Dia menulis komen bertanya bagaimana jika seorang yang belum lengkap divaksin untuk merentas negeri atas urusan penting seperti temujanji hospital.
"Tumpang tanya lah Datuk Seri., rentas negeri untuk yang sudah lengkap divaksin sahaja kan? Sekatan jalan raya (SJR) juga sudah dibuka. Jadi kalau yang belum vaksin tapi perlu rentas negeri atas urusan hospital perlu ambil borang kebenaran di balai lagi ke? Borang itu masih wujud dan diterima pakai ke ? Saya bukan antivaksin jangan kecam saya cuma keadaan badan tak mengizinkan," tulisnya.
RATA-rata pengguna yang belum lengkap vaksinasi dan di Sabah serta Sarawak menyatakan kebimbangan mereka. — Facebook
Seorang lagi pengguna Norhisham Wahab pula meninggalkan komen berhubung isu merentas sempadan untuk warga di daerah Limbang, Sarawak.
Tulisnya, Limbang, Sarawak ini terletak di tengah-tengah dua bahagian negara Brunei Darussalam berdepan kekeliruan sama ada mereka boleh atau tidak merentas ke daerah lain.
"Alhamdulillah. Terima kasih PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Walau bagaimanapun, harapan kami, penduduk daerah Limbang yang unik ini dapat dipermudahkan urusan untuk keluar dari daerah Limbang jika ada urusan kerana untuk makluman YAB PM, daerah Limbang, Sarawak ini terletak di tengah-tengah dua bahagian negara Brunei Darussalam.
"Oleh itu, saya dengan penuh harapan agar adanya perundingan dengan Kerajaan Brunei agar pada masa akan datang untuk urusan keluar masuk Limbang ke Daerah Lain menerusi transit menggunakan jalan darat Negara Brunei Darussalam dapat dipermudahkan dan diperhalusi mekanismenya. Sekadar cadangan. Apapun, terima kasih YAB Dato atas usaha yang telah dilakukan untuk Keluarga Malaysia," kongsinya.
Seorang pemilik akaun, Nurfarhani Maskuri berkongsi rintihan sebagai perantau di Sabah yang ingin pulang ke Semenanjung Malaysia.
Tulisnya dia memohon supaya Perdana Menteri dapat membantu dalam hal ehwal kebenaran merentas negeri di negeri itu.
"Pak long tolonglah kami yang di Sabah, kami mahu pulang kampung, sudah 2 tahun tidak pulang jumpa org tua, Sabah masih belum ada keputusan boleh rentas negeri atau tidak.
"Kami ramai yang bekerja di Sabah sudah lengkap divaksin, tolonglah beri kami pulang kampung di Semenanjung," katanya. — Majoriti
