'22 bulan berkuasa, kenapa tak bentuk pasukan khas?'


KIT Siang menggesa kerajaan agar menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kes kematian Beng Hock dan Altantuya.

KERAJAAN pada minggu lalu bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Penubuhan jawatankuasa itu bertujuan menyiasat kes kematian Muhammad Adib yang menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 akibat kecederaan parah akibat dipukul semasa rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengumumkan keputusan itu telah dicapai dalam dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Jumaat.

Susulan daripada pengumuman itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang melalui Facebooknya pada Isnin mahu pasukan siasatan yang bakal ditubuhkan itu untuk turut menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan Altantuya Shaariibuu.

Katanya, jika tidak, rakyat akan melihat kerajaan Ismail Sabri mengamalkan sikap dwistandard.

Kenyataan Kit Siang itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang daripada netizen di ruangan komen yang mendakwa gesaan itu sebagai salah satu agenda politik beliau.

Sebilangan netizen turut mempersoalkan kegagalan beliau mewujudkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes-kes berkenaan ketika Pakatan Harapan menjadi selepas Pilihan Raya Umum 2018 lalu.

Antara komen-komen netizen.

"Zaman kau jadi kerajaan pun. Bukan kau nak buka kes diaorang (mereka) pun. Janganlah nak politikkan benda-benda macam ni," kata Hazwan Wan Daud

"22 bulan DAP berkuasa kenapa tak tubuhkan pasukan khas siasat kematian mereka, mengapa hari ini DAP baru bukak mulut dan kenapa tak minta juga tubuhkan pasukan siasatan ke atas kematian mengejut saksi kes terowong dasar laut Pulau Pinang? Janganlah bersandiwara dalam politik.." tegas Mariyoo Parsey merujuk kepada kes kematian saksi utama membabitkan kes skandal pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, Datuk Ewe Swee Kheng pada 5 Oktober lalu.

"Sudah sudahlah..Teong Beng Hock..RCI dah buat..pampasan dah bayar..apa lagi nak..rakyat dah bosan layan kes ni.." kata Osman Abdul Ghani pula.

"Bengong.....Teoh Beng Hock siap dah dapat pampasan nak siasat apa lgi...Altantuya perilaku telah dijatuh hukum...,masa kau kerajaan adakah kau pandang macam benda ni," ujar Chemat Khir.

"22 bulan jadi kerajaan dengan kekuatan 42 Ahli Parlimen DAP tiada keupayaan untuk membentuk pasukan khas untuk menyiasat, sekarang suruh kerajaan pintu belakang untuk siasat... Mengarut," kata Ziqing Huang.

Untuk rekod, Teoh Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berada di tingkat 14 bangunan terbabit.

Altantuya pula merupakan wanita warganegara Mongolia yang dilaporkan hilang oleh sepupunya pada 19 Oktober 2006 ketika melawat Malaysia sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan hancur akibat diletupkan di kawasan hutan di Puncak Alam. — Majoriti