KERAJAAN telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengumumkan keputusan itu telah dicapai dalam dalam mesyuarat kabinet yang diadakan pada Jumaat.
"Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Pengumuman Perdana Menteri itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang netizen yang skeptikal terhadap penubuhan jawatankuasa tersebut.
Ramai yang mahu Perdana Menteri supaya menyiasat perkara itu dengan telus dan adil serta tidak hanya menjadikan penubuhan jawatankuasa itu sebagai modal politik semata-mata.
Antara komen-komen netizen di ruangan Facebook.
"Yang siasat hari tu tutup kes sementara, ni baru tubuh pula jawatankuasa khas, mula semula siasatan.... Nanti asyik masih dalam siasatan. Bila nak selesai," kata Mohd Aziz Ibrahim.
"Dua tahun kerajaan melayu berkuasa, tak habis-habis mempolitikkan Adib.. Dah berapa tahun? Siasatan masih dijalankan... Tunggulah sampai hari kiamat pun tiada keputusan muktamad... Kesian keluarga Adib.." luah Smmall Bearr.
"Dah berapa kali buat jawatankuasa?" soal Mohd Hilmi pula.
"Berlaku adillah kepada Adib, keluarga Adib dan pastikan siasatan telus, adil dan tidak hanya disebabkan niat politik, terima kasih," kata Andrew Choong.
"Berapa kali tubuh (jawatankuasa khas), setiap kali kerajaan baru ambil alih, tetapi kesudahannya senyap.. Semata-mata untuk meredakan kemarahan rakyat.. jangan lupa.. rakyat sekarang lebih cerdik dari kerajaan," ujar Alem SD Esmael.
"Berapa kali la nak putuskan wujud jawatankuasa khas dari tahun lepas.. Tahun depan keluar ayat sama mesyuarat putuskan akan wujud jawatankuasa khas... Statement ni keluar setiap kali ayah arwah tegur bila nak selesai kes arwah anak dia, esok kerajaan cadang nak tubuh jawatan kuasa.. Sudah-sudah la," kata Zed Strife pula.
Muhammad Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.
Dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara. — Majoriti