'Satu tindakan yang cukup baik dan saya hormati... cukup berani'


MESYUARAT Kabinet memutuskan akan memfokuskan kepada siasatan tiga kes berkepentingan dan ia termasuk kes kematian Muhammad Adib.
KISAH pembelaan kematian seorang anggota bomba, Allahyarham Muhammad Mohd Adib Kassim yang menjadi mangsa rusuhan kuil pada 27 November 2018 sehingga hari ini masih menjadi teka teki dan persoalan ramai.

Tindakan kerajaan untuk menutup sementara kes Muhammad Adib baru-baru ini bukan sahaja mengundang kesedihan pihak keluarga malah menimbulkan kekecewaan dan pertikaian banyak pihak.

Beberapa desakan dibuat terhadap kerajaan agar pembelaan Muhammad Adib dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Kabinet memutuskan akan memfokuskan kepada siasatan tiga kes berkepentingan dan ia termasuklah kes kematian Muhammad Adib.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ismail Sabri menerusi hantaran Facebook pada Ahad berkata, mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Allahyarham Adib.

"Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan," tulisnya.


Antara komen netizen yang memuji tindakan Ismail Sabri.


Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna Facebook yang rata-ratanya mengharapkan agar kes ini dapat diselesaikan segera.

"Dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum ini, isu arwah Adib bila dibangkitkan semula ibarat menarik rambut di dalam tepung. Namun saya yakin Barisan JK kelak akan lakukan yangg terbaik demi mencari kebenaran.

"Tindakan Perdana Menteri dalam tiga isu besar ini adalah satu tindakan yang cukup baik dan saya hormati. Cukup berani...," kata Mohd Zaini.

"Alhamdulillah... tahniah YAB Perdana Menteri, semoga keadilan dapat dikembalikan buat keluarga arwah," kata Dakzeman Jenal.

"Alhamdulillah, moga arwah dan keluarganya dapat pengadilan yang seadilnya dan ia dapat meyakinkan rakyat merungkaikan perkara sebenar. Terbaik YAB Datuk Seri mengotakan janji," kata Ahmad Mazwani. — Majoriti